
Bukannya tidak ada orang kampung cuba ambil tahu perihal mereka, tetapi apabila orang kampung pergi ke rumah mereka pasti wajah kedua pasangan ini tidak akan muncul. Ibarat pergi ke rumah kosong.
Keadaan Rumah Misteri di Kampung Bahagia
Persekitaran rumah yang dikelilingi pokok-pokok tinggi sahaja sudah menyeramkan. Kawasan rumah tersebut amat bersih tetapi kesunyian kawasan sekeliling sahaja, sudah menakutkan. Walaupun orang kampung jarang berjumpa keduanya, mereka hairan kerana pada waktu malam pasti terlihat ada sahaja orang yang mengunjungi rumah tersebut.
Ada yang percaya bahawa Karim dan Salmah adalah dukun, tetapi tidak ada seorang pun orang kampung yang pernah meminta bantuan daripada mereka.
Kehadiran Halim di Kampung Bahagia
Halim baru sahaja berpindah ke Kampung Bahagia. Bapa kepada dua orang anak kecil ini ada juga mendengar cerita mengenai Karim dan isterinya kerana rumahnya terletak lebih kurang 300 meter daripada rumah pasangan itu.
Kejadian Tengah Malam
Pada suatu hari, anak kedua Halim tiba-tiba sahaja menjerit-jerit tanpa disangka-sangka. Waktu itu jam menunjukkan pukul 2.30 pagi. Terkejut Halim dengan keadaan tersebut. Puas dia melakukan apa sahaja perkara yang diketahuinya tetapi anaknya tetap tidak mahu berhenti menangis. Anaknya menunding tangan ke sesuatu. Halim dan isteri tiba-tiba rasa takut.
Pada mulanya Halim mahu membawa anaknya ke klinik, tetapi sebaik sahaja dia keluar rumah, dia terus terfikir untuk memanggil Karim kerana rumah lelaki tersebut agak dekat dengan rumahnya.
Pertemuan dengan Karim dan Salmah
Isterinya melarang Halim memanggil Karim tetapi Halim berkeras. Jika betul Karim seorang dukun, sudah pasti dia boleh mengubat anaknya. Terus sahaja Halim menuju ke rumah Karim. Sampai di sana, puas Halim memanggil tetapi tidak ada jawapan.
Memikirkan mengenai anaknya yang sedang sakit di rumah, Halim mengalah dan terus balik. Belum sempat dia melangkah keluar dari halaman rumah, tiba-tiba Karim dan Salmah berada di sebelahnya. Tanpa sebarang pertanyaan, mereka terus ke rumah Halim.
Lembaga Hitam di Kampung Bahagia
Suami isteri itu memandang-mandang di dalam rumah. Mata Karim fokus di satu sudut. Dia memberitahu isterinya, lalu Salmah angguk. Halim pelik. Apa yang mereka nampak?
Salmah pergi mencari anak dan isteri Halim manakala Karim hanya memerhati sesuatu di tepi sudut itu. Halim tak puas hati. Selepas lama Halim tenung, dia nampak sebuah lembaga hitam bertenggek di sudut rumahnya. Badannya hitam dari kaki ke kepala. Matanya merah memandang Halim. Mata mereka berpandang sama. Lembaga itu melompat mahu menerkam Halim. Halim terus pengsan.
Akhir Kisah Misteri
Halim bangun dan jam menunjukkan 6 pagi. Karim dan Salmah sedang minum kopi yang dihidang oleh isteri Halim. Dia lihat anaknya sedang tidur nyenyak di dalam bilik. Isterinya sedang mengemas di dapur. Halim bertanya apa yang berlaku. Karim memberitahu bahawa makhluk itu telah dihalau dari rumah dan tidak akan berani datang lagi ke Kampung Bahagia.