Sejak kejadian itu, hubungan aku dan Fifi mula renggang. Kami jarang bercakap, dia menjauhkan diri dari aku. Dia sering duduk berjam-jam dalam bilik bayi sambil memegang baju bayi. Bila aku cuba berborak, dia hanya abai. Aku fikir dengan memberi ruang, dia akan pulih dari kemurungan selepas kehilangan anak, tetapi keadaan jadi semakin buruk.
Dia semakin suka duduk dalam bilik, enggan mandi, enggan makan, dan lebih banyak tidur. Aku cuba menegurnya, namun akhirnya kami bergaduh besar. Kata-kata kesal terluah, dia menyalahkan aku kerana tidak memberi kasih sayang secukupnya. Aku juga tidak pandai menjaga isteri pada saat paling memerlukan.
Dua hari aku biarkan dia seorang diri dalam bilik itu. Namun pagi itu aku rasa kesal. Aku sedar banyak kesilapan telah aku lakukan. Aku nekad untuk menyokong apa sahaja keputusannya selepas ini.
Aku masuk ke bilik bayi dan melihat Fifi memandang ke arah katil bayi. Aku memohon maaf dengan air mata yang mengalir. Aku berjanji akan sentiasa menyokongnya. Namun, dia hanya meletakkan jari telunjuk di mulutnya, menyuruh aku diam: “Shhh. Anak kita sedang tidur.”
Aku mendekati katil, melihat apa yang dipandangnya. Rupanya hanya patung mainan yang disalinkan dengan baju bayi. Aku terbelah hati – perlu ke aku menegur atau biarkan sahaja. Akhirnya aku memilih untuk melayankan perasaannya. “Maaf sayang. Anak tidur tu, jom kita makan,” aku ajak perlahan.
Untuk pertama kali dia ikut aku makan nasi kukus. Dia mula menjawab soalan, malah tersenyum. Sejak itu, aku layankan sahaja apa yang dia mahukan. Dia mula tidur kembali di sisiku. Namun aku tahu kami sudah jauh daripada normal.
Satu malam aku dikejutkan oleh bunyi guruh. Isteriku tiada di sebelah. Patung yang dianggap bayi itu berada di katil. Aku mencari ke seluruh rumah. Akhirnya, aku menemui Fifi di ruang tamu, basah kuyup sambil memeluk sesuatu.
Bila aku dekat, aku terkejut besar. Dia sedang menyusukan mayat anak kami. Dengan wajah tenang dia berkata, “Jangan bising. I tengah susukan anak kita.”
Keesokan harinya, aku terpaksa memanggil hospital jiwa. Mayat itu dikebumikan semula. Dan kesilapan terakhir aku – aku tidak menjaga isteriku di hospital. Aku biarkan keluarganya menguruskan. Aku menjual rumah dan berhijrah ke Melbourne, Australia untuk memulakan hidup baru.
Sekarang aku sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Aku tidak tahu apa nasib Fifi selepas itu. Namun aku sedar, pengalaman ini meninggalkan parut yang kekal.