Asal Usul Kuchisake-onna
Kisah asal Kuchisake-onna dipercayai bermula kira-kira 1200–800 tahun dahulu. Diceritakan seorang wanita cantik berkahwin dengan seorang samurai, namun kecantikannya membawa padah. Apabila suaminya mengetahui kecurangannya, dia menghiris mulut wanita itu dari hujung ke hujung hingga ke telinga sambil berkata: “Siapa yang akan menganggap engkau cantik sekarang?” Tragedi inilah yang melahirkan roh pendendam yang dikenali sebagai Kuchisake-onna.
Kisah Moden di Jepun
Pada akhir tahun 1970-an, lagenda Kuchisake-onna kembali menjadi bualan hangat di Nagasaki. Ramai saksi mendakwa melihat hantu ini berkeliaran mencari mangsa, lalu berita itu pantas merebak ke bandar-bandar lain di Jepun. Malah, seorang koroner pada tahun 2007 mendapati rekod seorang wanita dengan mulut koyak yang mati dilanggar kereta ketika mengejar budak. Penemuan ini menambah kepercayaan bahawa kisah Kuchisake-onna mungkin berpunca daripada peristiwa sebenar.
Cara Hantu Ini Menghantui Mangsa
Kebanyakan mangsa Kuchisake-onna adalah kanak-kanak. Hantu ini sering digambarkan berjalan di lorong sempit dengan topeng pembedahan menutupi wajahnya. Dia akan berhenti dan bertanya, “Cantik ke saya? (Watashi wa kawaī desu ka?)”.
- Jika mangsa menjawab tidak, mereka akan dibunuh menggunakan gunting besar.
- Jika mangsa menjawab ya, Kuchisake-onna akan menanggalkan topengnya, lalu menunjukkan mulut yang terbelah hingga ke telinga.
Walau apa pun jawapan, mangsa akhirnya tetap menjadi buruan dan tiada jalan keluar selain menemui ajal. Inilah yang menjadikan kisah ini antara legenda paling menakutkan di Jepun.
Kuchisake-onna dalam Budaya Popular
Selain kekal sebagai lagenda bandar, Kuchisake-onna turut menjadi inspirasi dalam budaya popular Jepun. Kisahnya diadaptasi dalam anime, manga, dan filem seram. Bahkan, legenda ini juga tersebar ke Korea Selatan, menjadikan Kuchisake-onna simbol seram Asia Timur yang ikonik.
Legenda Kuchisake-onna mengingatkan kita bahawa kisah seram bukan sekadar hiburan, tetapi juga cerminan ketakutan masyarakat pada zamannya. Hingga kini, ia kekal menjadi cerita hantu Jepun yang paling menyeramkan.