Misteri budak hutan ini bermula apabila Syed Sorgi, seorang pelakon tambahan yang sudah 3 tahun bergiat dalam industri perfileman, terlibat dalam pengambaran sebuah cerita seram. Walaupun hanya pelakon tambahan, cita-citanya untuk menjadi pelakon membuatkan dia bertahan dengan jadual kerja yang panjang dan meletihkan.
Kehidupan Seorang Pelakon Tambahan
Kerjaya dalam industri perfileman bukan mudah. Selagi jadual hari itu tidak habis, selagi itu pengambaran diteruskan. Lagi mencabar bagi seorang pelakon tambahan. Kadang-kala call time
pagi, tetapi pengambaran hanya berlangsung pada malam hari. Mereka terpaksa menunggu berjam-jam sebelum adegan bermula.Syed pernah diberi call time pukul 2 petang. Namun, kerana pengarah ingin menukar adegan ke waktu malam, dia dan pelakon tambahan lain terpaksalah menunggu lama.
Adegan Seram Bermula
Ketika pengambaran adegan seram bersama pontianak, Syed ternampak seorang budak di celah semak. Tubuhnya pucat, tidak berbaju, dan tidak bergerak. Apabila didekati, budak itu berlari masuk ke dalam semak samun.
Syed yang ingin tahu terus mengekori jejak budak itu. Tanpa sedar, dia sudah jauh dari lokasi pengambaran. Di hadapannya muncul sebuah tasik kecil. Sunyi dan gelap. Tiba-tiba, satu bunyi pelik seperti gabungan anjing dan manusia mengejutkannya. Telefon bimbitnya langsung tidak ada isyarat.
Misteri Budak Hutan
Syed cuba mencari jalan pulang tetapi merasakan ada sesuatu mengekori. Semasa mendongak ke atas, dia ternampak budak itu bertenggek di atas pokok. Wajahnya kotor, matanya hitam pekat, badannya pucat. Sekelip mata, budak itu melompat dan hilang. Syed berlari ketakutan.
Namun, tidak lama kemudian budak itu muncul lagi. Mukanya basah, air meleleh keluar dari mulut. Tubuhnya seperti baru sahaja keluar dari tasik. Misteri budak hutan itu membuatkan Syed semakin panik.
Kisah Sebenar Terbongkar
Selepas selesai pengambaran, Syed bertanya kepada tuan rumah lokasi pengambaran tentang budak tersebut. Dengan linangan air mata, tuan rumah menceritakan kisah sebenar. Budak itu adalah anaknya yang telah meninggal dunia dua tahun lalu. Anak kecil itu lemas di tasik hutan kerana tidak tahu berenang, ketika umurnya baru 10 tahun.
Kini, roh anak itu dipercayai masih menghuni kawasan semak samun dan tasik tersebut. Misteri budak hutan terus menghantui sesiapa yang melintasi kawasan itu.