Tahun baru telah bermula. Ini bermakna tiba masa untuk bersekolah semula. Alina tidak sabar untuk ke sekolah. Tambahan pula tahun ini amat penting dalam hidupnya kerana bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
Alina bernasib baik kerana lokasi sekolah menengah yang dihadirinya itu tidak jauh dari rumah. Dia boleh berbasikal ke sana. Disebabkan tidak mahu terlambat pada hari pertama persekolahannya, Alina telah keluar awal dari rumah.
Teruja Ingin Jumpa Kawan
Tidak sampai 15 minit, Alina sudah sampai ke perkarangan sekolah barunya. Hari pertama sekolah dibuka Alina berasa amat gembira kerana dapat bertemu dengan beberapa orang rakannya yang sama-sama memilih sekolah menengah yang sama.
Hari pertama persekolahan segala-galanya berjalan dengan baik. Alina tidak sabar untuk menunggu keesokan harinya. Dia berazam untuk pergi setiap hari ke sekolah. Sasarannya adalah untuk belajar dengan lebih tekun untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik.
Pagi pada hari kedua, Alina tetap bersiap dengan awal. Biarpun keadaan di luar masih gelap, Alina terus ke sekolah seorang diri. Emaknya berpesan agar Alina menunggu adiknya agar mereka boleh pergi Bersama. Tetapi Alina tidak mempedulikan nasihat emaknya.
Alina tidak takut pergi seorang diri. Dia bukannya mahu meninggalkan adiknya. Tetapi adiknya bukan pergi ke sekolah seorang diri. Dia ada dua orang kawan yang sama-sama bersekolah di sekolah yang sama.
Seperti semalam, Alina mengayuh basikal tanpa mempedulikan keadaan sekeliling. Fokusnya adalah untuk ke sekolah. Tetapi apabila tiba di persimpangan jalan, tiba-tiba dia rasa seram sejuk.
Dia terasa seperti ada sesuatu yang mengekorinya. Naik bulu romanya. Segera ditolehnya ke belakang. Namun tidak ada apa-apa pun mengekorinya. Sebaliknya hanya ada beberapa batang pokok besar di sekelilingnya.
Tanpa berlengah Alina mengayuh basikal dengan laju. Tetapi kali ini dia terasa seperti ada seseorang menghembuskan nafas di lehernya. Hati Alina tidak keruan. Dia terus menoleh ke belakang. Tetapi sebaik memandang ke belakang, tidak ada sesiapa pun di situ.
Kayuhannya semakin laju. Kali ini bukan hembusan nafas yang dirasakan. Sebaliknya angin kuat menolaknya dari belakang. Alina terus menoleh ke belakang. Sebaik menoleh dia tergamam apabila melihat satu makhluk sedang bertenggek di atas sebatang pokok besar.
Ngeri dan menyeramkan wajah makhluk tersebut. Tidak pernah dia berhadapan dengan makhluk sebegitu menakutkan dalam hidupnya.
Semakin lama Alina memandang, mata makhluk itu semakin besar. Makhluk itu turut menyeringai menunjukkan giginya yang tersusun tajam. Kecut perut Alina melihatnya. Kayuhannya terus terhenti. Dia seperti terpaku di atas jalan.
Tak Tentu Arah
Alina ingin menjerit tetapi mulutnya seakan terkunci. Dia juga ingin meninggalkan basikalnya. Tetapi dia mampu bergerak. Seakan terpaku di tanah. Begitulah keadaan Alina apabila adiknya menemuinya beberapa minit kemudian.
Adik Alina memanggilnya. Dia hairan kenapa kakaknya berdiri seperti patung di atas jalan raya. Sebaik menghampiri, kakaknya tetap terpaku seperti patung. Apa yang telah terjadi. Hairan sungguh adik Alina melihat keadaan kakaknya.
Melihatkan keadaan Alina itu, salah seorang kawan adiknya terus mengayuh basikal kembali semula menuju ke rumah. Niat adiknya untuk ke sekolah pun terbantut. Melihatkan tidak ada pergerakan daripada kakaknya, adik Alina terus menepuk bahu kakaknya itu untuk mengejutkannya.
Sukar juga untuk menyedarkan Alina. Hanya setelah adik Alina menyapu air ke muka kakaknya itu, barulah Alina seperti terjaga daripada mimpi. Alina seperti terkejut melihat adiknya yang ada di hadapan matanya.
Tidak beberapa lama kemudian, kawan adik Alina kembali semula tempat kejadian bersama dengan bapa Alina. Melihatkan keadaan Alina seperti tidak tentu arah itu telah menyebabkan bapa Alina terus membawanya pulang ke rumah.
Sebaik sampai di hadapan rumah, tiba-tiba bapa Alina terdengar suara anaknya bercakap. Dia seperti baru tersedar dari mimpi. Terus dia meletakkan anaknya di atas kerusi. Sebaik duduk, tiba-tiba sahaja Alina menangis tidak berhenti-henti.
Demam
Belum sempat bapanya menenangkannya, tiba-tiba Alina pengsan. Suhu badannya mula meningkat. Badannya mula panas dan akhirnya Alina demam akibat terkejut. Alina tidak sedarkan dirinya.
Kelam-kabut bapa Alina melihatkan keadaan anaknya. Terus dia meminta adik Alina memanggil ustaz Ali yang tinggal tidak jauh dari rumah mereka. Tidak lama kemudian ustaz Ali pun tiba.
Sebaik ustaz Ali memeriksa Alina, lelaki itu mengatakan Alina hanya terkejut. Biarlah dia tidur. Sebaik dia terjaga barulah mereka boleh bertanya pada Alina. Keesokan hari barulah Alina sedar.
Apabila ditanya oleh bapanya, Alina seperti tidak mampu bercerita. Dia hanya terdiam. Beberapa kali ditanya, Alina tidak jawab. Akhirnya setelah Alina dimandikan barulah anaknya itu seakan sedar dengan apa yang berlaku. Dia mula bercerita apa yang berlaku.
Keesokan harinya Alina tidak ke sekolah. Setelah dua hari cuti barulah dia mula berani untuk ke sekolah. Tetapi kali ini Alina tidak ke sekolah berseorangan. Setiap hari bapanya perlu menghantar ke sekolah.
Malah setiap kali melalui kawasan simpang jalan di mana terdapat pokok besar itu sudah pasti Alina akan mula menggigil ketakutan. Sampai bila dia berperasaan begitu, Alina tidak tahu. Apa yang pasti selepas ini dia tidak akan berani mengayuh basikal secara keseorangan ke sekolah.
Ini kisah dari kawan aku Diana. Diana ni baik orangnya. Cantik pulak tu. Hari tu dia menceritakan kat aku pengalaman dia lalui. Hampir setiap malam dia akan dengar ketukan di dinding rumahnya. Kadang-kadang ada dengar bunyi ketukan di pintu. Diana dengan naifnya membuka pintu rumah, tapi apabila buka, tiada siapa di luar.
Diana juga perasan, setiap kali buka ada angin yang akan masuk ke dalam rumahnya. Angin itu lalui badan Diana lalu hilang di dalam rumah.
Dana sebenarnya janda dan mempunyai seorang anak lelaki. Setiap hari Diana akan hantar ke rumah mak dia dan bila balik dari kerja Diana akan angkat anaknya. Oleh kerana sibuk degan kerja, kadang-kala ibu Diana akan bawa Adi, anak Diana, berjalan-jalan.
Semasa tiada orang di rumah, masa itulah Diana dengar ketukan.
Satu malam, kawan Diana datang membawa barang yang Diana beli dari dia. Diana menjemputnya masuk. Mereka berborak-borak.
Tak lama kemudian kawannya mahu ke tandas. Diana tunjuk arahnya. Sementara menunggu, Diaana sedang menyiapkan air oren untuk kawannya.
Tiba-tiba Diana dengar satu jeritan kuat dalam rumahnya. Rupanya kawan Dianalah menjerit “Oi”. Diana berlari ke arahnya. Diana terus mengetuk pintu tandas. Kawannya buka pintu dan marah, “Kau tutup lampu kan? Kau tutup lampu kan?”
“Aku sedang buat air, tak ada kerja nak main buka tutup lampu.” Aku jawab. Kawan Diana masuk semula ke dalam tandas. Diana sambung menyiapkan airnya.
Tiba-tiba kawan Diana menjerit lagi. Kali bunyinya ketakutan. Diana mengetuk pintu bilik air. Tak ada orang jawab. “Suzy. Buka pintu oi”.
Lepas ketuk tak berhenti, Suzy membuka pintu tandas. Mukanya pitam. Dia pengsan depan tandas. Di dalam tandas ada susuk tubuh, rambut panjang sampai ke lantai dengan mata merah terbeliak memerhati Diana.
Diana menyeret kawannya sambil berkata, “Bangun Suzy bangun.”
Tiba-tiba lampu terpadam. Aku tak tahu nak buat apa. Suzy sedar. “Apa terjadi?”
Diana jawab, “Jom keluar rumah.”
Aku nak keluar sahaja, lampu hidup semula. Di depan pintu, mereka nampak sekali lagi lembaga itu. Dia mengangkat tangan dan menunding ke Diana.
Selangkah demi selangkah lembaga itu menghampiri mereka. Diana dan Suzy ketakutan.
Tiba-tiba ada ketukan di pintu. “Mami. Mami.” panggil Adi.
Adi pulang bersama ibu Diana. Lembaga itu hilang. Diana membuka pintu. Ibu tanya, “Apasal muka kau pucat?”
Suzy nak beritahu tapi di halang oleh Diana. “Nanti Di bagi tahu”.
Ibu pulang. Suzy menawarkan diri untuk tidur di rumahnya tapi Diana enggan. Suzy pulang ke rumahnya.
Diana melihat Adi. Dia tahu siapa yang hantar lembaga itu. Bekas lelaki dia. Dia mahu hak penjagaan anak jatuh kat dia. Mungkin dia ingat dengan menghantar hantu itu, Diana akan rapuh nak ikut kehendak bekas suaminya. Tapi Diana laku sebaliknya. Dia nekad tak akan bagi langsung Adi kepada bekas suaminya.
Malam itu Diana buat macam tak ada apa-apa berlaku. Dia tidurkan Adi di biliknya. Diana mendengar ketukan di pintu, kali ini Diana buat tak tahu.
Dia menelefon bekas suaminya, “Ini rumah aku. Adi anak aku. Kau jangan ingat boleh takut-takutkan aku dengan benda-benda khurafat”. Diana hang up telefonnya.
Pada satu petang, aku nampak ayah bersama lima orang lelaki yang aku tak kenal membawa balik sebuah keranda kayu. Hiasan luarnya sangat cantik. Aku tertarik. Aku lihat ayah meletakkan keranda itu di bawah pokok yang aku suka lepak. Aku dekati ayah dan bertanya, “Ayah, kenapa bawa pulang keranda ini?”. Tanpa sebarang reaksi, senyum atau marah, ayah berlalu pergi.
Aku memerhati langkah ayahku naik ke rumah. Aku berpaling kelima-lima laki itu, mereka dah balik, hilang. Yang tinggal cuma aku dan keranda. Entah kenapa hati aku rasa macam nak buka sangat keranda itu. Aku cuba buka, pada mulanya agak sukar, selepas beberapa kali aku kerahkan tenagaku, penutup keranda itu terbuka dan aku lihat dalam tu agak usang. Seribu satu soalan muncul di kepalaku. Aku tutup kembali dan aku mencari ayah aku.
***
Ayah duduk di tepi jendela sambil menghirup kopi. Segenap ruang rumah itu berkumandang lagu tamil klasik, lagu kegemaran ayahku. Sebaik sahaja dia meletakkan cawan di atas meja, dari jauh aku dapat lihat asap-asap hangat masih bergerak seolah-olah lagu tamil.
Aku capai satu surat khabar lusuh. Tak baca pun. Cuma sekadar pegang. Aku duduk rapat di sebelah ayah. Aku tanya, “Ayah. kenapa ayah diam. Kenapa dengan keranda di bawah tu?” Ayah ku menjawap, “Nanti kau akan faham. Cuma pesan ayah, kau carilah cahaya sebelum malam itu tiba.”
Aku terpingga-pingga, apa maksud ayah. Bukankah tiap-tiap hari tiba malam? Nak baca doa sebelum tidur ke apa? Petang itu berlalu dengan suasana yang sungguh sepi.
Beberapa hari selepas itu. Ibu ku yang mengikuti rombongan ke Kelana Jaya bersama Pak Jabik pulang membawa beberapa beg plastik. Aku tegur ibu, “Amboi mak, banyaknya!” Mak jawap, “Entahlah. Ayah kau yang pesan kain batik lepas. Dia bagi duit mak beli je lah”.Aku tergerak hati ingin memberitahu ibuku tentang keranda tu. “Mak, baru-baru ni ayah bawa balik satu keranda. Ada kat belakang tu”. “Ish… kamu ni. Tak kan lah ayah bawa balik keranda. Mengarutlah. Kan ayah kamu dah seminggu pergi johor”. Aku memanggil mak lalu menoleh ke belakang.
Aku tarik tangan mak dan bawa ke belakang tempat ayah simpan keranda itu. Betul, keranda itu tidak ada di situ. Aku binggung. Aku pandang sekeliling dan aku nampak ayah di tepi jendela sambil pegang cawan. Aku jerit “Mak… Tu Ayah! Ayah!” sambil aku cuba lari naik ke atas rumah. Entah macam mana, Aku sedar aku tersadung dan dunia menjadi gelap.
***
Aku tahu aku buka mata. Tapi semuanya gelap. Aku cuba bergerakkan tanganku. Ada yang menghalang. Dinding. Aku merasakan ruang ini sangat kecil. Entah macam mana kepala otakku terus melayang terfikir tentang keranda. Aku cuba menolak, megetuk, menjerit dan segala cara untuk melepaskan diri dari ruang itu. Dan setelah aku penat, pintu keranda itu terbuka sendiri… Aku bangun. Aku berada di dalam satu stor. Aku nampak mak dan ayah aku ketawa-ketawa sambil memegang seorang bayi. Di satu sudut ada satu lembaga yang aku kurang pasti apa rupa bentuknya. Yang jelas mahluk itu cuba memandang ke arah bayi. Aku cuba mendekati mak dan ayah. Ketika aku nak melangkah, ada satu tangan di bahuku menahan. Aku berpaling, wajah seorang pemuda yang sangat kacak. Tak pernah aku lihat. Dan aku pasti dia bukan manusia biasa. Dia mengeling-gelingkan kepala dan menyuruh aku “Masuk balik”. Aku seolah-olah menjadi bodoh dan terpukau dan aku ikut sahaja kata-kata dia.
Mahluk di sudut tepi aku mula berkata-kata dalam bahasa yang aku tidak faham. Namun gayanya, dia seperti ingin menghalang aku. Namun lelaki tadi berjaya menarik aku semula ke dalam keranda itu.
Tahu-tahu, aku berada di tangga rumah. Aku lihat banyak selipar. Kedengaran ada bacaan yasin di dalam rumah. Keranda itu ada di tepi tangga. Aku nampak beberapa orang yang aku kenal. Aku tegur. Tapi suara aku tak kedengaran.
Siapa yang meninggal dalam rumah ini, tanya aku. Aku ikut mereka dan aku nampak memang ada sekujur jasad di rumah itu. Aku nampak aku di situ. Dan kalian, jangan tanya macam mana aku kongsikan cerita ini.
Selepas bersara, Malik dan Rashidah mengambil keputusan untuk tinggal di kampung. Mereka mendirikan rumah setingkat yang mempunyai lima bilik di tanah pusaka milik keluarga Malik yang terletak di hujung kampung. Kawasan itu pun masih belum banyak rumah yang dibina.
Malik dan Rashidah memiliki empat orang anak dan hanya yang perempuan sulungnya yang sudah berkahwin dan dikurniakan seorang cucu lelaki, Iman berusia lima tahun. Manakala tiga lagi masih menuntut di pusat pengajian tinggi.
Selepas berpindah ke kampung, setiap dua minggu anak sulungnya sekeluarga pulang balik ke rumah. Sesekali jika anak mereka perlu berkursus atau bertugas di luar daerah, cucunya itu akan ditinggalkan bersama Malik dan Rashidah.
Pada waktu petang jika Iman ada di rumahnya, Malik gemar membawa Iman keluar bersiar-siar di sekeliling kampung. Setiap kali tiba di depan sebuah pokok besar yang rendang, Iman pasti akan menoleh pada pokok itu berkali-kali. Katanya, dia mendengar suara orang menyanyi di bawah pokok. Sedap suaranya. Malek terus memarahi Iman dan mengatakan tak ada sesiapa yang menyanyi di situ. Sejak itu, Iman tak pernah cakap apa-apa tapi setiap kali lalu di depan pokok yang sama, dia akan menoleh berkali-kali.
Sehinggalah pada satu hari, Rashidah memberitahu Malek, setiap kali dia memandikan Iman selepas pulang berjalan-jalan dengan Malik, Iman suka menyanyi satu lagu yang pelik.Iman kata kawan barunya yang ajar. Benda yang sama berulang setiap kali Iman ke rumah Malek. Pernah juga Iman bercakap seorang diri seolah-olah bermain dengan seseorang. Malek dan Rashidah perasan tentang perubahan Iman itu.
Malam itu, Malek dan Rashidah mengajak Iman berbual-bual. Mak dan ayah Malek juga berada bersama mereka. Malek menyuruh Iman menyanyikan lagu yang sering dinyanyikan. Nyanyian itu sangat pelik, umpama lagu orang lama. Bila ditanya siapa yang ajar, kata Iman kawannya yang ajar. Kawannya itu tinggal berhampiran pokok besar. Malek dapat agak yang mana satu dimaksudkan Iman. Menurut Iman lagi, kawannya itu juga ada datang ke rumah Malek untuk bermain dengannya. Pernah dia ajak Iman ke rumahnya tapi Iman tolak kerana takut atuk dan neneknya marah. Itu kata Iman.
Terdiam Malek, Rashidah dan ibu bapa Iman mendengarkan kata-kata Iman itu. Keesokan harinya Malek terus berjumpa seorang ustaz dan menurut ustaz itu, pokok itu tempat tinggal satu keluarga bunian. Salah seorang anak mereka yang ingin berkawan dengan Iman. Nasib baik Iman kuat dan tidak mahu mengikut ke dunia mereka.
Dengan rundingan ustaz itu, keluarga bunian itu sanggup berpindah dan pokok itu ditebang. Sejak itu Iman tidak lagi dikunjungi kawan barunya itu. Namun sesekali, dia akan tetap menyanyikan lagu yang diajar kawannya itu walau pun puas ditegah!