Tahun baru telah bermula. Ini bermakna tiba masa untuk bersekolah semula. Alina tidak sabar untuk ke sekolah. Tambahan pula tahun ini amat penting dalam hidupnya kerana bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
Alina bernasib baik kerana lokasi sekolah menengah yang dihadirinya itu tidak jauh dari rumah. Dia boleh berbasikal ke sana. Disebabkan tidak mahu terlambat pada hari pertama persekolahannya, Alina telah keluar awal dari rumah.
Teruja Ingin Jumpa Kawan
Tidak sampai 15 minit, Alina sudah sampai ke perkarangan sekolah barunya. Hari pertama sekolah dibuka Alina berasa amat gembira kerana dapat bertemu dengan beberapa orang rakannya yang sama-sama memilih sekolah menengah yang sama.
Hari pertama persekolahan segala-galanya berjalan dengan baik. Alina tidak sabar untuk menunggu keesokan harinya. Dia berazam untuk pergi setiap hari ke sekolah. Sasarannya adalah untuk belajar dengan lebih tekun untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik.
Pagi pada hari kedua, Alina tetap bersiap dengan awal. Biarpun keadaan di luar masih gelap, Alina terus ke sekolah seorang diri. Emaknya berpesan agar Alina menunggu adiknya agar mereka boleh pergi Bersama. Tetapi Alina tidak mempedulikan nasihat emaknya.
Alina tidak takut pergi seorang diri. Dia bukannya mahu meninggalkan adiknya. Tetapi adiknya bukan pergi ke sekolah seorang diri. Dia ada dua orang kawan yang sama-sama bersekolah di sekolah yang sama.
Seperti semalam, Alina mengayuh basikal tanpa mempedulikan keadaan sekeliling. Fokusnya adalah untuk ke sekolah. Tetapi apabila tiba di persimpangan jalan, tiba-tiba dia rasa seram sejuk.
Dia terasa seperti ada sesuatu yang mengekorinya. Naik bulu romanya. Segera ditolehnya ke belakang. Namun tidak ada apa-apa pun mengekorinya. Sebaliknya hanya ada beberapa batang pokok besar di sekelilingnya.
Tanpa berlengah Alina mengayuh basikal dengan laju. Tetapi kali ini dia terasa seperti ada seseorang menghembuskan nafas di lehernya. Hati Alina tidak keruan. Dia terus menoleh ke belakang. Tetapi sebaik memandang ke belakang, tidak ada sesiapa pun di situ.
Kayuhannya semakin laju. Kali ini bukan hembusan nafas yang dirasakan. Sebaliknya angin kuat menolaknya dari belakang. Alina terus menoleh ke belakang. Sebaik menoleh dia tergamam apabila melihat satu makhluk sedang bertenggek di atas sebatang pokok besar.
Ngeri dan menyeramkan wajah makhluk tersebut. Tidak pernah dia berhadapan dengan makhluk sebegitu menakutkan dalam hidupnya.
Semakin lama Alina memandang, mata makhluk itu semakin besar. Makhluk itu turut menyeringai menunjukkan giginya yang tersusun tajam. Kecut perut Alina melihatnya. Kayuhannya terus terhenti. Dia seperti terpaku di atas jalan.
Tak Tentu Arah
Alina ingin menjerit tetapi mulutnya seakan terkunci. Dia juga ingin meninggalkan basikalnya. Tetapi dia mampu bergerak. Seakan terpaku di tanah. Begitulah keadaan Alina apabila adiknya menemuinya beberapa minit kemudian.
Adik Alina memanggilnya. Dia hairan kenapa kakaknya berdiri seperti patung di atas jalan raya. Sebaik menghampiri, kakaknya tetap terpaku seperti patung. Apa yang telah terjadi. Hairan sungguh adik Alina melihat keadaan kakaknya.
Melihatkan keadaan Alina itu, salah seorang kawan adiknya terus mengayuh basikal kembali semula menuju ke rumah. Niat adiknya untuk ke sekolah pun terbantut. Melihatkan tidak ada pergerakan daripada kakaknya, adik Alina terus menepuk bahu kakaknya itu untuk mengejutkannya.
Sukar juga untuk menyedarkan Alina. Hanya setelah adik Alina menyapu air ke muka kakaknya itu, barulah Alina seperti terjaga daripada mimpi. Alina seperti terkejut melihat adiknya yang ada di hadapan matanya.
Tidak beberapa lama kemudian, kawan adik Alina kembali semula tempat kejadian bersama dengan bapa Alina. Melihatkan keadaan Alina seperti tidak tentu arah itu telah menyebabkan bapa Alina terus membawanya pulang ke rumah.
Sebaik sampai di hadapan rumah, tiba-tiba bapa Alina terdengar suara anaknya bercakap. Dia seperti baru tersedar dari mimpi. Terus dia meletakkan anaknya di atas kerusi. Sebaik duduk, tiba-tiba sahaja Alina menangis tidak berhenti-henti.
Demam
Belum sempat bapanya menenangkannya, tiba-tiba Alina pengsan. Suhu badannya mula meningkat. Badannya mula panas dan akhirnya Alina demam akibat terkejut. Alina tidak sedarkan dirinya.
Kelam-kabut bapa Alina melihatkan keadaan anaknya. Terus dia meminta adik Alina memanggil ustaz Ali yang tinggal tidak jauh dari rumah mereka. Tidak lama kemudian ustaz Ali pun tiba.
Sebaik ustaz Ali memeriksa Alina, lelaki itu mengatakan Alina hanya terkejut. Biarlah dia tidur. Sebaik dia terjaga barulah mereka boleh bertanya pada Alina. Keesokan hari barulah Alina sedar.
Apabila ditanya oleh bapanya, Alina seperti tidak mampu bercerita. Dia hanya terdiam. Beberapa kali ditanya, Alina tidak jawab. Akhirnya setelah Alina dimandikan barulah anaknya itu seakan sedar dengan apa yang berlaku. Dia mula bercerita apa yang berlaku.
Keesokan harinya Alina tidak ke sekolah. Setelah dua hari cuti barulah dia mula berani untuk ke sekolah. Tetapi kali ini Alina tidak ke sekolah berseorangan. Setiap hari bapanya perlu menghantar ke sekolah.
Malah setiap kali melalui kawasan simpang jalan di mana terdapat pokok besar itu sudah pasti Alina akan mula menggigil ketakutan. Sampai bila dia berperasaan begitu, Alina tidak tahu. Apa yang pasti selepas ini dia tidak akan berani mengayuh basikal secara keseorangan ke sekolah.
∞
Abang Yus seorang pemandu teksi. Hampir 20 tahun dia bekerja sebagai pemandu teksi. Malam ini seperti malam-malam biasa. Tiada yang aneh. Cuma malam ini Abang Yus kena hantar seorang lelaki di area Kemensah. Abang Yus jarang ke sana. Dia tak lah familiar sangat. Selepas hantar lelaki itu, Abang Yus mencari jalan keluar dari Kemensah. Dalam perjalanan, dia di tahan oleh seorang perempuan. Abang Yus fikir bagus juga ada penumpang. Rezeki jangan di tolak.
Selalunya apabila dia ambil orang, penumpang itu akan duduk belakang, lagi-lagi perempuan. Tapi kali ini perempuan tu duduk depan. Tiada yang aneh tentang perempuan ni, rambutnya sampai ke leher, bajunya tshirt hitam, berseluar jean. Abang Yus tanya nak ke mana. Dia jawab, nak ke Selayang. Abang Yus gembira, kerana senanglah untuk dia, lepas hantar perempuan ni dia boleh balik terus. Rumah Abang Yus dekat stadium Selayang.
Abang Yus sambung tanya Selayang belah mana, perempuan itu pun bagi arahan. Jauh sikit tapi okla. Dalam perjalanan, perempuan ini suka jeling ke belakang teksi Abang Yus. Abang Yus pun tak berapa selesa, dia pandang ke belakang tapi tak ada benda.
Sampai jalan utama, Abang Yus nak buang air kecil, dia minta kebenaran untuk berhenti sekejap di stesen minyak. Perempuan tu setuju. Dia pun nak beli air. Selepas Abang Yus buang air kecil, dia lihat perempuan tu dah masuk dalam kereta. Tapi kali ini dia duduk di belakang. Abang Yus cuba tegur dia, “eh, duduk belakang pulak”. Kali ini dia tidak jawab. Abang Yus anggap mungkin perempuan itu penat. Sampai di traffic light, Abang Yus terpaksa berhenti kerana lampu merah. Abang Yus pun jeling ke cermin tapi kali ini perempuan itu macam lain macam. Tak sedap hati Abang Yus.
Abang Yus buat tak tahu pada mulanya. Dia pun terus pandu. Tiba-tiba dia terdengar bunyi pelik. Abang Yus toleh ke belakang tapi tak ada apa-apa. Dia tanya kepada perempuan itu kalau dia dengar juga. Tapi perempuan itu tidak jawab. Tiba-tiba Abang Yus meremang. Dia cuba cari station radio yang baca surah Al-Quran tapi tak jumpa.
Satu lagi traffic light Abang Yus terpaksa berhenti. Abang Yus dengar bunyi yang sama. Dia jeling ke belakang. Perempuan itu makin pelik. Abang Yus tutup mata dan selawat tiga kali. Apabila dia buka mata, dia jeling semula ke belakang, perempuan itu dah hilang.
Abang Yus percaya bahawa perempuan yang duduk belakang teksinya bukan perempuan yang sama semasa dia ambil di Kemensah. Abang Yus patah balik ke stesen minyak tadi. Memang betul perempuan itu masih di situ.
Abang Yus pun angkut perempuan tadi. Perempuan itu tanya, “Abang pergi mana?” Abang Yus tak tahu nak jawab apa. Dia hanya minta maaf kerana kononnya dia terlupa dia ada penumpang. Perempuan itu rasa pelik. Dia pun naik teksi.
Dalam perjalanan perempuan itu menjeling ke belakang, Abang Yus memberitahu, “Jangan takut, benda tu dah tak ada lagi”. Dia toleh Abang Yus dan buat tak tahu.
Abang Yus hantar dia ke destinasinya lalu dia pun balik. Abang Yus percaya bahawa perempuan itu nampak seorang lagi penumpang di belakang teksi tapi dia tak mahu tegur takut penumpang itu bukan manusia.
Menumpang mahkluk halus di Kemensah
∞
Hari raya adalah waktu paling teruja untuk kita pulang ke kampung termasuklah Mikail. Bukan sahaja dapat berjumpa ibu bapa dan sanak saudara malah inilah masanya untuk dia berjumpa tunangnya yang jauh di mata. Dari awal lagi Mikail sudah mengambil cuti panjang untuk beraya di kampung.
Biar pun Kuala Lumpur dan Ipoh tidaklah jauh, namun bagi pemuda yang baru bekerja sepertinya sudah tentu perlu berjimat-cermat tambahan pula dia dan tunangnya, Nadia akan mendirikan rumah tangga.
Berbeza dengan orang lain, setelah tiga atau enam bulan bekerja pasti akan membeli sebuah kereta untuk keselesaan ke sana, sini. Sebaliknya Mikail lebih selesa berjimat dengan menaiki motosikal. Jimat belanja, jimat minyak dan tidak perlu bersesak kerana dia bekerja di tengah ibu kota. Duit yang ada juga disimpan baik untuk majlisnya nanti.
Hari yang dinanti telah tiba, syawal disambut penuh meriah di kampung Mikail kerana abang dia baru dapat anak pertama. Ramai sanak-saudara datang berkunjung, Mikail penat uruskan dapur dan makanan untuk disajikan kepada tetamu. Penat tetapi menyeronokkan.
Dari awal Mikail memang merancang ingin pergi beraya ke rumah Nadia pada hari raya ketiga dan abangnya telah berjanji untuk pinjamkan kereta. Bimbang pula Mikail hendak ke Pulau Pinang menaiki Honda EX5 dari Ipoh.
Tetapi tatkala hari kejadian, anak abangnya demam dan perlu dibawa ke klinik. Akhirnya bermotosikal juga dia ke Pulau Pinang seorang diri kerana Nadia telah merajuk apabila Mikail cuba berkompromi untuk datang pada keesokan harinya.
Demi Kekasih Mikail Turutkan
Biar pun letih melayan tetamu tetapi kerana kekasih hati Mikail kuatkan juga semangat untuk ketemu cinta hati. Alhamdulillah, keluarga Nadia meraikan Mikail dengan tangan terbuka dan meminta Mikail pulang esoknya sahaja kerana hari telah hampir maghrib.
Namun Mikail perlu juga pulang kerana keesokan harinya majlis cukur jambul anak buah. Dalam terpaksa, Mikail cuba beranikan diri biarpun hatinya rasa tidak keruan. Tepat jam tujuh petang, Mikail bergerak pulang. Berkali-kali Nadia meminta berhati-hati dan hubungi sekiranya apa-apa berlaku.
Benarlah apa yang dirasainya mula menjadi nyata, apabila motosikalnya tiba-tiba mati di tengah jalan. Pelik. Minyak telah diisi penuh, tayar juga cukup angin. Sudahlah gelap gelita di tepi Lebuh raya Utara Selatan (PLUS). Talian telefon pula tidak aktif.
Lelaki Misteri
Walaupun hati berdebar-debar, dirinya berdoa agar ada sesiapa hulurkan bantuan padanya. Tiba- tiba sebuah skuter putih berhenti dan dengan isyarat tangan sahaja dia nyatakan ingin membantu Mikail dengan menolak motosikalnya.
Tanpa berfikir panjang, Mikail menyarung topi keledar dan meneruskan perjalanan dengan bantuan lelaki misteri tersebut. Bulunya mula berdiri tegak apabila motosikalnya ditolak laju seperti 100km/jam. Bayangkan sebuah skuter menolaknya naik bukit menuju terowong menora. Benar-benar pelik selaju itu dia ditolak.
Hatinya tidak tenang tetapi Mikail tidak berani memalingkan wajahnya untuk melihat wajah penunggang motosikal tersebut hinggalah dia melepasi terowong menora. Tatkala itu motosikalnya dilepaskan apabila menuruni bukit. Serentak mulut menjerit apabila melihat skuter itu hilang sekelip mata.
Jika selama ini dia tidak percaya dengan cerita yang dikaitkan dengan terowong menora, kini sedikit demi sedikit dia mulai mempercayainya. Mikail sendiri lalui pengalaman itu dan dia demam selama seminggu.
∞
Nama saya Dahlia. Saya tinggal di Shah Alam bersama dua lagi rakan. Saya student di Universiti berdekatan di sini. Kawasan rumah saya ni memang sunyi. Tapi tak pernah berlaku apa-apa ganjil sebelum ni. Malam ini semua berubah.
Satu malam saya tak sedap badan. Biasalah, masalah wanita. Sakit sangat. Nak berjalan pun tak mampu. Ni lagi pulak nak kuar rumah. Sepatutnya malam ni kami kuar tapi kerana keadaan saya begini, saya buat keputusan untuk duduk rumah. Saya suruh kawan saya tapau makanan untuk saya. Selepas mereka keluar, saya kuatkan semangat dan pergi mandi. Rasa kotor kalau tak bersihkan badan. Lagi-lagi time begini. Selepas itu saya ambil ubat dan terus masuk tidur. Harap apabila bangun, badan saya dah ok sikit.
Saya pun baring dan masuk ke alam mimpi. Tiba-tiba semasa saya sedang tidur, saya dapat rasakan ada orang tarik ibu jari kaki. Saya tersedar. Mamai-mamai. Sekali lagi saya rasa ibu jari kaki saya di tarik. Tak nak lah fikir benda-benda bukan-bukan, saya anggap otok saya menegang. Maklumlah, tidur dalam aircond. Saya pun cuba tidur semula. Tiba-tiba saya rasa dan nampak depan mata saya selimut saya yang saya selubung sehingga ke leher di tarik dari bawah.
Saya terus segar terkejut. Saya pandang kiri kanan dalam bilik saya yang gelap tu saya tak nampak apa-apa. Bulu roma dah meremang. Tapi saya masih berfikir mungkin itu mainan mimpi saja. Saya ambil balik selimut itu dan selubung semula badan saya. Sekali lagi selimut saya di tarik. Kali ini saya percaya saya bukan dalam mimpi. Oleh kerana takut, saya tak berani buka mata. Saya tak tahu nak buat apa. Saya lompat dari katil dan beranikan diri, “Jangan ganggu aku! Aku tak takut dengan kau!”.
Tiba-tiba pintu bilik saya terbuka sendiri. Saya panggil nama kawan saya. Tiada jawapan. Sakit perempuan saya makin kuat. Nak lari tak bermaya. Saya terus memanggil nama kawan saya. Tiba-tiba dengar satu gelak lembut. Saya kuatkan semangat dan bangun keluar dari bilik. Harapan saya dapat lihat kawan saya sedang usik saya tetapi apabila saya keluar, tiada sesiapa di ruang tamu.
Tiba-tiba dari dalam bilik saya dengar bunyi suara mengilai. Handphone pulak ada di dalam bilik. Nak ambil phone tak berani. Apa saya boleh buat adalah buka lampu ruang tamu. Rumah itu jadi terang. Saya pandang kiri kanan tiada orang.
Tak lama kemudian, di bilik tandas saya terdengar bunyi orang sedang makan sesuatu. Saya tak berani nak tengok. Lalu saya terfikir, “Alamak, saya terlupa saya tak basuh kain tuala yang kena darah saya tadi.” Saya berdiri kaku di pintu. Bunyi itu makin kuat, seperti makin selera. Saya nampak telefon saya. Saya terus berlari mengambilnya. Saya menelefon kawan saya. Dia memberitahu yang dia sudah berada di depan rumah. Sebaik sahaja mereka masuk, bunyi itu berhenti. Saya memberitahu apa yang terjadi. Kami bertiga pergi ke bilik air. Tuala saya berada di lantai bilik air. Saya terus ambil tuala itu dan basuh.
Takut… malam itu kami tidur sebilik.
∞