Rara, 28 tahun. Seorang perempuan yang mempunyai cita-cita tinggi. Sebelum umur 30 tahun, dia ingin memegang jawatan tinggi dalam syarikat.
Akhirnya, kerja keras dia berbaloi. Dia di naikkan pangkat. Rara sungguh gembira. Usahanya selama ni berbaloi.
Satu hari, Rara sedang bekerja, tiba-tiba dia di serang sakit kepala yang kuat. Ia terjadi berulang kali dan akan hilang dengan sendirinya. Rara tak mahu pening kepalanya menganggu hari pertama naik pangkat.
Malam itu Rara susah nak tidur pada waktu malam, malah dia tak ngantuk. Dia berpusing-pusing di atas katil sehingga pagi.
Keesokkan harinya dia tak berhenti rasa lapar. Walaupun dah makan, dia masih lapar. Pagi tu sahaja dia dah makan sebungkus nasi lemak dan tiga bungkus roti canai. Rara masih lapar.
Rara seorang yang berbadan kurus, makan pun tak lah banyak. Tak tahu mana datangnya perubahan dramatik ini.
Semakin hari dia mula menjadi lebih sensitif dari biasa. Dia kadang-kadang lupa kerja yang perlu dia buat, sehingga dia lupa kerja lama dan baru.
Perubahan dekat Rara dapat dilihat oleh seluruh tempat kerjanya. Bos Rara berpendapat bahawa Rara tertekan dengan kerja barunya. Dia memaksa Rara bercuti selama seminggu. Pada awalnya Rara tak mahu, tapi selepas memujuk, Rara setuju.
Rara memutuskan untuk balik kampungnya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Lama dia tak balik kampung. Sampainya di situ, Rara rasa tenang. Dunia kampung lebih lambat bergerak berbanding di bandar. Mungkin betul kata bosnya, dia perlu rehat.
Ads
Rara bantu neneknya siap makanan petang. Neneknya hairan kenapa tiba-tiba sahaja Rara balik kampung. Dia beritahu yang dia dah lama tak bercuti. Rindu dekat nenek. Semasa dia hidangkan makanan petang, dia terdengar seperti bisikan. Rara terhenti. Neneknya memerhatikannya. Rara sambung hidang.
Selepas selesai hidang, Rara masuk bilik air. Bisikan itu boleh kedengaran lagi. Rara cuba hindarkan bunyi tu.
Bunyi itu berterusan. Malam hari ia jadi lebih banyak. Rara tak mahu sesiapa tahu yang dia dengar bunyi. Dia takut nanti orang label dia gila. Nenek perasan sesuatu berlaku dengan cucunya. Dia hanya boleh memerhati setakat ini.
Rara memasuki biliknya. Dia cuba sumbat telingannya dengan bantal tetapi bunyi itu masih boleh dengar. Tak tahu nak buat apa, dia bangun, sebaik sahaja bangun, di luar tingkap biliknya dia nampak lembaga berbaju hitam sedang memerhati. Rara menjerit, neneknya segera datang.
Apabila Rara memandang tingkap itu, lembaga hitam itu dah tak ada. Nenek pun meninggalkan dia.
Ads
Dalam beberapa jam berikutnya, Rara tidak di ganggu. Tapi apabila Rara nak masuk tidur, suara itu kedengaran semula. Kali ini jelas, “Rara”.
“Siapa tu?” Rara tanya. Tiada orang jawab. Rara takut. Dia keluar dari bilik tidurnya.
Panggilan namanya semakin kuat. Dia cuba memanggil nenek, tapi tak jawab. Dia buka pintu bilik neneknya, tapi dia tak ada dalam. Rara menjadi panik. Dia cuba membuka tv. Dia mahu tengelamkan bunyi itu.
Suara itu berhenti. Rara bersyukur. Tak lama kemudian, dia merasakan ada sesuatu sedang memerhatinya. Dia pusing ke kira dan ada sebuah lembaga berkulit hitam. Rara terkejut seraya menjerit.
Rara tak tahu nak ke mana, dia lari keluar rumah. Tapi di luar rumah lagi banyak suara bercakap. Tambahan pula dia nampak bayang-bayang putih berkeliaran.
Ads
Tiba-tiba sahaja Rara terduduk sambil menangis. “Nek. Tolong Rara.”
Nenek datang memeluk Rara. “Nek pergi mana tadi?”
“Nek gi rumah Cik Salwi seberang sungai. Ambil paku pakis.” jawab Nenek.
“Tolong saya nek.” Rara merayu.
Nenek terus terang bahawa Rara semasa kecil hijabnya terbuka, tapi Rara senang takut. Kami memutuskan untuk menutup hijab Rara. Walaupun dah tutup, Ia boleh terbuka semula kerana hijab Rara adalah hadiah istimewa dari Allah. Jika Allah nak buka, ia akan buka. Nenek suruh Rara buat keputusan antara nak tutup atau tidak.
Beberapa hari kemudian Rara memutuskan untuk kekalkannya. Seperti nenek cakap, itu adalah hadiah dari Allah S.W.T.
Ghaffar, 49 tahun, seorang penoreh getah. Sejak muda itu sahaja dia tahu. Sekarang, dia sudah mempunyai 5 orang anak dan yang sulung telah melanjutkan pelajarannya di Universiti Malaya. Dua dari anaknya belajar Tahfiz Ghaffar bangga dengan anak-anaknya.
Pukul 4 pagi Ghaffar sudah bangun untuk bersiap sedia menoreh. Dengan basikal buruknya, Ghaffar mengayuh ke kebun getahnya.
Ghaffar telah mengunakan jalan sama. Tak pernah ubah. Peliknya, pagi ini, dalam perjalanan ke kebunnya, Ghaffar sesat. Dia tak tahu apa terjadi, camana dia boleh sesat. Adakah dia mula nyanyuk? Atau dia termasuk ke dunia bunian?
Gahffar meneruskan perjalanannya, harapan dia akan jumpa jalan yang dia kenal. Ketika itulah dia nampak bayangan seorang lelaki sedang mengayuh basikal, keluar dari simpang. Ghaffar terus kejar. “Assalamualaikum bang…” jerit Ghaffar sambil mengayuh ke lelaki itu.
Semakin dekat, Gahffar nampak pakaiannya berwarna hijau dan memakai topi yang mempunyai kain penutup hingga ke bahu. Dari belakang nampak macam seorang penoreh juga. Ghaffar panggil sekali lagi, “Assalamualaikum bang…”
Lelaki itu berhentikan basikalnya. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah Ghaffar. Terkejut Ghaffar apabila melihat mukanya. Lelaki itu mempunyai lubang di bahagian matanya. Dia memakai uniform tentera jepun. Dia juga ada sebilah pedang dan sepucuk senapang bersamanya. “Dōshite watashi o tomeru no?” tanya lelaki itu sambil mengacu senapangnya ke arah Ghaffar.
Ghaffar mengangkat tangannya. Sekali lagi lelaki itu tanya, “Dōshite watashi o tomeru no?”
Tak lama kemudia dua lagi hantu jepun muncul. Seorang tidak mempunyai kepala dan seorang lagi tidak mempunyai kaki sebelah. “Nani ga okimashita ka?” tanya hantu yang tak ada kaki sebelah.
Askar Jepun yang pertama menerangkan apa terjadi kepada kawannya. Ketiga-tiga mereka mengacu senapang mereka ke “Anatahadare? Supai?” Jepun yang tak ada kaki itu tanya kepada Ghaffar. “Anatahadare? Supai?”
Ghaffar tak faham. Jepun tu marah. Dia hentak bucu bawah senapangnya ke kepala Ghaffar.
Ghaffar pengsan.
Tak lama kemudian, Ghaffar mula sedar. Hantu-hantu jepun itu dah tak ada. Ghaffar dengar azan subuh. Dia bangun dan melihat keadaan sekeliling. Sekarang dia tahu di mana dia berada. Ghaffar tak tahu apa terjadi, di antara dia bermimpi atau dia benar-benar nampak hantu jepun tapi di kepalanya ada kesan lebam hentakan bucu senapang tadi.
Aidil seorang pelajar di Universiti Malaya dan jika dia ada masa spare, dia akan gunakan untuk mencari duit lebih dengan menjadi rider untuk syarikat penghantar makanan. Aidil datang dari keluarga yang miskin, ayahnya seorang nelayan dan ibunya membuat kuih untuk orang sarap pagi-pagi. Kedua-dua mereka duduk jauh di Kedah. Dengan kerja sampingan ini, Aidil dapat mengurangkan beban keluarganya.
Satu hari, dia mendapat pesanan. Seperti biasa dia ambil makanan yang di pesan dan mengunakan GPS, dia terus ke lokasi pelanggannya. Tak di jangka oleh Aidil, pesanan kali ini agak pelik dari biasa.
Minyak di moto Aidil dah menyala, tapi dia buat tak tahu. Dia lalu depan stesen minyak, tapi tak berhenti. Cadanganya, dia akan hantar dulu makanan, baru dia isi minyak.
5 minit lagi, Aidil akan sampai tempat destinasinya. GPS suruh dia masuk ke kiri, lalu kubur cina. Pada mulanya dia was-was tapi dia percaya dengan GPS. Mungkin ini shortcut ke rumah orang itu. Lagi pun, jam baru tunjuk 7.45 petang. Awal lagi hantu nak bangun. Katanya dalam hati.
Aidil pun pusing ke kiri. Lagi dua minit nak sampai, Aidil masih di dalam kawasan kubur. Seminit lagi nak sampai. Dia pandang kiri kanan, tak ada pun kawasan perumahan. ‘You have arrive,’ kata GPS.
Aidil sekarang berada di tengah-tengah kubur cina. Pelik, tak kan hantu yang order, katanya dalam hati. Aidil gelak fikirkan apa yang terjadi ini melucukan. Dia cuba menelefon pelanggannya, tapi keadaan menjadi pelik apabila line tiba-tiba tak ada.
Aidil mengambil nafas. Dia terkenang apa nasib dia ni. Aidil memandang kubur sebelahnya. Kubur itu senang di kenali, segalanya merah. Tulisanya sahaja dalam warna keemasan. Aidil mengambil keputusan untuk keluar dari kawasan jirat cina ini.
Tak tahu bagaimana, Aidil tiba balik ke lokasi sama. Sebelah kubur merah tu. Aidil cuba sekali lagi dan sekali lagi dia tiba tempat sama.
Aidil dah mula panik. Jam dah tunjuk pukul 8.30 malam. Minyak kat motornya dah kering. Phone pulak tak ada line. Yang paling dia risau adalah makanan ni, yang makin lama makin sejuk.
Tiba-tiba dia nampak seorang perempuan berbaju merah sedang memerhati salah satu kubur tak jauh dari dia. ‘Manusia ke hantu? Manusia ke hantu? Manusia ke hantu?’ otaknya sedang berfikir. Aidil start motornya semula, sebelum sempat beredar dari kawasan, perempuan itu pandang ke arah Aidil. Dia memandang Aidil.
Tak tahu kenapa, satu badan Aidil tak boleh bergerak. Matanya terkaku melihat perempuan itu. Perlahan-lahan perempuan itu menghampirinya.
Walaupun tak boleh bergerak, tapi dia masih boleh membaca ayat kursi. Tiba-tiba perempuan itu hilang. Sesaat lepas itu muncul di depan Aidil. Dengan jelas, Aidil dapat melihat mukanya, pucat, urat-uratnya nampak. Matanya hitam. Bibirnya merah. Tapi di mulutnya seperti terkoyak sampai ke pipinya. Apabila dia buka mulut, bahagian koyak-koyak tu boleh nampak terbuka. Aidil boleh lihat dalam mulutnya.
Perempuan itu cuba cakap, tapi tak boleh kerana mulutnya yang terkoyak. Hanya bunyi pelik keluar dari mulutnya. Aidil masih meneruskan baca ayat kursi. Tiba-tiba perempuan itu mengilai dan hilang kan diri.
Akhirnya Aidil dapat bergerak semula. Dia terus naik motor dan pecut dari kawasan itu. Kali ini, Aidil jumpa jalan besar. Tanpa fikir apa-apa Aidil pecut tinggalkan jirat cina itu.
Aidil tak tahu, di belakang seat motornya, perempuan berbaju merah itu sedang tumpangnya.
Aku dan isteriku dalam perjalanan menuju ke Kampung Bongor di Kedah, sedikit atas dari Baling. Esok, adik iparku akan melangsungkan perkahwinan dengan orang sana. Keluarga isteriku sudah tiba lebih awal di homestay. Selepas habis kerja, kami terus bertolak dari KL.Kami tiba di Baling sekitar jam 12 lebih malam. Perjalanan ke homestay masih sekitar 30-40 minit. Isteri di sebelah sedang tidur. Selepas keluar dari bandar Baling, dia terjaga dan beritahu yang dia lapar. Aku sudah pesan sejak di KL supaya dia makan dulu, tapi katanya nak diet. Sekarang, mencari kedai makan sudah agak susah.
Dia tidak henti-henti cakap lapar, buat aku rasa tak selesa. Aku kata kalau ada kedai nanti, kita singgah. Tidak lama kemudian, aku nampak sebuah kedai makan. Isteriku paksa berhenti. Aku pun parkir kereta di tepi.
Kedai Mee Udang Misteri Di Baling
Kami masuk ke kedai itu. Ada beberapa orang pelanggan. TV sedang menyiarkan perlawanan bola. Kami duduk. Seorang perempuan datang ambil pesanan. Kami order mee udang misteri Baling dua pinggan dan teh ais dua gelas. Dia terus masuk ke dapur.
Aku mula perhatikan keadaan sekeliling. Semua pelanggan diam. Tidak ada yang berborak. Semasa Mo Salah jaring gol, langsung tiada reaksi. Aku mula rasa pelik. Aku teringat, tiada sepatah perkataan pun aku dengar dari pelayan mahupun pelanggan. Meremang bulu roma aku, tapi aku buat-buat tenang supaya isteri tidak risau.
Isteri melihat telefonnya dan beritahu tiada line di kawasan itu. Aku cuba perhati ke dalam dapur. Rasa janggal bila lihat tukang masaknya seperti sedang berkemban. Kedai itu sangat bersih, wangi, dengan hiasan bunga yang cantik di luar.
Pengalaman Seram Dengan Mee Udang
Gol kedua Mo Salah, masih tiada reaksi. Aku pasti kedai ini bukan kedai biasa. Aku bisik pada isteri untuk keluar, tapi dia buat muka tak puas hati kerana lapar. Tak lama, hidangan mee udang misteri Baling sampai. Pelayan meletakkan mee udang dengan cara pelik — udang dipotong dua, kepala diberi kepadaku, ekor kepada isteriku. Matanya langsung tidak memandang kami.
Isteri makan tanpa fikir peliknya cara hidangan. Katanya mee udang itu sedap. Aku cuba buang perasaan tidak sedap hati dan turut makan. Memang sedap. Isteriku siap bungkus satu untuk dibawa pulang ke homestay.
Selesai makan, kami teruskan perjalanan. Tidak lama kemudian sampai di homestay dan tidur selepas berborak dengan keluarga.
Rahsia Mee Udang Misteri Baling Terbongkar
Keesokan harinya selepas majlis perkahwinan, aku teringat bungkusan mee udang di dalam kereta. Aku pergi ambil. Terkejut aku apabila lihat dalam bungkusan itu bukan mee, tetapi penuh ulat sampah. Aku muntah tepi kereta. Untuk rahsiakan daripada isteri, aku buang bungkusan itu diam-diam.
Sejak itu aku mula rasa tak sedap badan, menggigil, seakan demam. Esoknya, kami pulang ke KL. Dalam perjalanan, isteri ajak singgah semula di kedai semalam. Katanya dia rindu rasa mee udang misteri Baling. Mendengar itu sahaja, aku rasa nak muntah.
Bila sampai ke lokasi, isteri terkejut. Kedai itu langsung tiada. Yang ada hanya sebuah pondok lama usang terbiar. Dia pasti inilah tempat yang sama. Aku berlakon mengatakan mungkin kedai itu di depan lagi. Kami teruskan perjalanan hingga ke Baling, tapi kedai itu tidak pernah ditemui lagi.
Kisah Seram Mee Udang Misteri Baling
Hingga hari ini, aku tidak pernah beritahu isteri apa yang sebenarnya aku fikir tentang kedai tersebut. Aku yakin malam itu kami sudah memasuki alam lain. Cuma aku berdoa apa yang kami kunyah bukanlah ulat sampah. Kisah seram mee udang misteri Baling ini masih menghantui fikiranku hingga sekarang.
Kisah seram mee udang misteri Baling yang meremangkan bulu roma.
Pengalaman sebenar cerita seram universiti yang berlaku di fakulti perubatan. Kisah pelajar yang terperangkap dalam bilik mayat waktu malam – pengalaman ngeri yang tak dapat dilupakan.