Zaman Universiti dulu, setiap sabtu, aku, Rafiq, Linda dan Suzana akan pergi hiking. Ia adalah aktiviti mingguan kami. Trip kali ini, Kim nak join. Kim ni kawan sekelas kami. Dia baik tapi ramai yang tak selesa dengan dia.
Kawan aku sebenarnya tak setuju dia ikut tapi aku syorkan dia ok. Aku sebenarnya kesian kat Kim. Korang kena faham, Kim ni ada aura yang buat orang di sekelilingnya tak senang. Rambutnya serabai, bajunya macam tak basuh. Apabila dia berpeluh, dia ada keluarkan bau tapi dia banyak tolong aku dalam pelajaran. Aku terhutang budi dengan Kim.
Malam jumaat bermulalah perjalanan kami. Kami berempat on the way pick up Kim. Linda berkata, “apa kata kita terus ke pergi dan tak payah ambil Kim.” yang lain setuju. Aku memberi pandangan tajam kat Linda.
Selepas pick up Kim, kami terus ke Gunung Nuang di Hulu Langat. Kami tiba di starting point around 12 malam. Kami cadang nak sampai atas bukit sebelum matahari terbit. Kami mula mendaki.
Dua jam dalam perjalanan Kim mahu berhenti. Dia penat. Aku pun berhenti yang lain masih bertenaga, mereka macam gelisah terutama sekali Rafiq. Dia tak berhenti melihat jam. Selepas habis je Kim minum air, Rafiq gesa kita untuk teruskan hiking. Kami pun sambung mendaki.
Tak lama kemudian Kim minta rehat lagi. Rafiq semakin gelisah.
“Kau dah kenapa fiq?” tanya Linda.
“Lambatlah kita sampai kalau setiap 30 minit nak berhenti” jawab Rafiq.
Kim buat bodoh dengan kata-kata Rafiq. Dia bangun dan teruskan perjalanan. Kami ikut dari belakang. Langkah kami semakin slow. Kakinya makin berat. Linda dan Rafiq jauh sikit dari kami. Aku di belakang bersama Kim. Suzana di depan kami. Suzana berpesan pada Rafiq dan Linda supaya jangan berpisah. Rafiq macam ingkar arahan Suzana. Semakin mendaki, jarak kami dan Rafiq semakin jauh. Kim meminta untuk berehat sekali lagi. Suzana memanggil Rafiq untuk tunggu.
“Kau nak rehat, kau rehat. Aku nak tengok sunrise. Jom Linda.” jawab Rafiq.
“Aku nak rehat juga. Chill la fiq.” jawab Linda.
Rafiq macam tak puas hati. Dia tinggalkan kawannya.
“Aku naik dulu”. kata Rafiq.
“Kita jangan pisah. Bahaya.” kata Suzana.
“Jumpa di atas” jawab Rafiq. Dia pun mendaki.
Suzana rasa perbuataan Rafiq tu bodoh. Kim bangun dan ajak kami teruskan perjalanan.
Rafiq yang berada di depan terhenti apabila dia terdengar bunyi loceng. Bunyinya seperti memukau. Makin tinggi Rafiq panjat, makin kuat bunyi itu seakan memanggil Rafiq datang ke arahnya. Rafiq seperti hypnotise.
Semasa kami mendaki, kami ingat Rafiq dah berada di depan kami. Nasib Kim nampak Rafiq yang hampir berdekatan dengan gaung. Cepat-cepat Kim tarik Rafiq. Dia melawan dan menolak Kim. Aku pun tolong Kim. Keempat-empat kami cuba tenangkan Rafiq tapi dia masih melawan seperti di rasuk.
“Pegang dia!” kata Kim.
Kami pun pegang sekuat kami mampu. Kim membuka kasutnya dan mencubit hujung ibu kaki Rafiq.
“Sakitlah bodoh!!” kata Rafiq yang terus melawan.
“Ini kawan aku. Apa kau nak dengan dia?” kata Kim.
“Kau siapa nak halau aku?” kata Rafiq.
Kim ulang, “Ini kawan aku. Apa kau nak dengan dia?”
Kim membaca beberapa surah Al Quran. Linda menangis-nangis sambil memanggil nama Rafiq.
“Ini kawan aku. Sudah masa kau tinggalkan dia” kata Kim.
Kim azan. Rafiq tak cuba melawan. Akhirnya dengan kuasa tuhan, Rafiq sedarkan diri. Linda terus mendapatkan Rafiq yang lemah dan Suzana berikan air kepadanya.
“Apa terjadi?” kata Rafiq. “Last aku dengar adalah bunyi loceng.”
“Loceng?” aku tanya Rafiq.
“Awak hampir terjun dalam gaung. Awak di rasuk. Awak buat saya risau” kata Linda.
Rafiq lihat muka Linda.
“Kim selamatkan awak.” sambung Linda.
“Terima kasih Kim.” kata Rafiq.
Kami tak teruskan perjalanan kami. Kami turun semula ke starting point. Walaupun kami tak dapat lihat Matahari terbit atas bukit, matahari terbit dari bawah gunung pun lawa juga.
This Content Is Only For Subscribers
Please subscribe to unlock this content.
Selepas seminggu berpindah di kawasan pedalaman sebuah kampung yang terletak di Kuala Lipis, Azman yang bertugas sebagai Pegawai Jabatan Perhilitan sudah mula berasa keseorangan. Buat sementara waktu, isteri dan anak-anaknya masih tinggal di ibu kota memandangkan urusan untuk berpindah sekolah mengambil masa yang agak panjang. Di situ Azman tinggal di sebuah rumah sewa dan kebanyakan jirannya adalah rakan-rakan sekerjanya.
Setiap hari, rutinnya dia akan tiba di rumah sebelum maghrib. Memandangkan dia tinggal bujang, kadangkala lupa stok makanan tidak banyak. Satu hari, jam menunjukkan tepat 9 malam dan perut Azman mula berkeroncong. Dia mula mencari makanan di almari dapur namun yang ada cuma beberapa keping biskut kering.
Azman merancang untuk ke pekan berhampiran, terus dicapai kunci kereta di atas rak almari kasut. Ketika sedang memandu, di sebuah kawasan hutan, tiba-tiba muncul seorang lelaki tua yang sedang berjalan kaki, Azman berhenti dan mengajak lelaki itu menaiki keretannya. Namun lelaki itu enggan dan selesa berjalan kaki sahaja.
Tibanya di Pekan, Azman terus membeli barangan keperluan di sebuah kedai runcit. Dia juga memesan burger untuk makan di rumah nanti. Ketika sedang duduk menanti burger siap, Azman melihat lelaki tua yang diajak naik keretanya tadi, sedang berjalan kaki menuju ke kedai runcit. Ditanya pemuda yang sedang memasak burger, siapakah orang tua itu, pemuda itu hanya menggelengkan kepala. Ketika memandu pulang, orang tua itu sentiasa berlegar-legar di minda Azman. Dia berasa pelik, kerana orang tua itu begitu cepat sampai sedangkan jarak dari hutan ke Pekan agak jauh. Tibanya di rumah, Azman terus menikmati burger bersama milo panas sambil melayan telefon pintarnya.
Tiba-tiba, kedengaran pintu rumahnya diketuk. Lantas Azman bangun membuka pintu, namun dia begitu hairan kerana tiada sesiapa di luar. Begitu juga ketika hendak melelapkan mata, Azman mendengar lagi ketukan dari luar, namun tidak diendahkan. Keesokan paginya Azman keluar bekerja seperti biasa, jalan yang dilalui pada pagi itu kelihatan sesak dengan ambulans dan kereta polis. Dia bertanya kepada orang ramai yang berada di situ, mereka memberitahu ada seorang lelaki tua mati dilanggar dan mayatnya tercampak di lereng bukit.
Mangsa Langgar Lari
Berderau darah Azman apabila mendengar berita tersebut. Dia syak pasti pakcik yang dijumpai semalam menjadi mangsa langgar lari. Ketika pulang dari kerja, dia melihat sekujur mayat di tepi jalan yang masih belum dibawa naik ke dalam kenderaan polis. Tibanya di rumah, dia duduk termenung sambil mengimbas kembali tentang pakcik tua itu.
Tiba-tiba orang tua yang sentiasa bermain di mindanya, berada tepat di hadapannya. Azman sempat bertanya kepada pakcik tersebut, benarkah dia yang menjadi mangsa langgar lari itu. Namun pakcik itu cuma menggelengkan kepala. Kemudian orang tua itu cuma, berkata, “mana anak aku?” Tiba-tiba Azman terjaga apabila mendengar alunan azan Maghrib, rupa-rupanya dia bermimpi. Selepas selesai solat, Azman ke rumah rakan sekerjanya yang tinggal selang beberapa rumah dari rumah sewanya. Dia bercerita tentang pakcik tua misteri yang dijumpai dan kisah lelaki tua yang menjadi mangsa langgar lari. Rakannya, menjelaskan peristiwa yang sama dialami rakannya itu ketika mula-mula berpindah ke kawasan itu.
“Aku pun alami perkara yang sama, pakcik itu sebenarnya sudah lama meninggal namun mengikut kisah orang kampung ini, rohnya tidak aman. Dia dibunuh oleh anaknya sendiri yang menjadi penagih dadah. Pada waktu itu anaknya meminta wang namun dia tidak mahu berikan. Pergelutan berlaku dan akhirnya anak pakcik itu telah menikam ayahnya sehingga mati. Kini, rumah pakcik itu kosong tidak berpenghuni. Rumah pakcik itu terletak di dalam hutan jalan hendak ke pekan dan kini rumah itu kosong tiada penghuni. Sebab itu kenderaan yang lalu di kawasan itu pasti akan diganggu roh pakcik tua itu,” rungkai rakan Azman. Manakala pakcik tua yang menjadi mangsa langgar lari semalam pula dilanggar ketika dia sedang mengayuh basikal menuju ke pekan.
Selepas bersara, Malik dan Rashidah mengambil keputusan untuk tinggal di kampung. Mereka mendirikan rumah setingkat yang mempunyai lima bilik di tanah pusaka milik keluarga Malik yang terletak di hujung kampung. Kawasan itu pun masih belum banyak rumah yang dibina.
Malik dan Rashidah memiliki empat orang anak dan hanya yang perempuan sulungnya yang sudah berkahwin dan dikurniakan seorang cucu lelaki, Iman berusia lima tahun. Manakala tiga lagi masih menuntut di pusat pengajian tinggi.
Selepas berpindah ke kampung, setiap dua minggu anak sulungnya sekeluarga pulang balik ke rumah. Sesekali jika anak mereka perlu berkursus atau bertugas di luar daerah, cucunya itu akan ditinggalkan bersama Malik dan Rashidah.
Pada waktu petang jika Iman ada di rumahnya, Malik gemar membawa Iman keluar bersiar-siar di sekeliling kampung. Setiap kali tiba di depan sebuah pokok besar yang rendang, Iman pasti akan menoleh pada pokok itu berkali-kali. Katanya, dia mendengar suara orang menyanyi di bawah pokok. Sedap suaranya. Malek terus memarahi Iman dan mengatakan tak ada sesiapa yang menyanyi di situ. Sejak itu, Iman tak pernah cakap apa-apa tapi setiap kali lalu di depan pokok yang sama, dia akan menoleh berkali-kali.
Sehinggalah pada satu hari, Rashidah memberitahu Malek, setiap kali dia memandikan Iman selepas pulang berjalan-jalan dengan Malik, Iman suka menyanyi satu lagu yang pelik.Iman kata kawan barunya yang ajar. Benda yang sama berulang setiap kali Iman ke rumah Malek. Pernah juga Iman bercakap seorang diri seolah-olah bermain dengan seseorang. Malek dan Rashidah perasan tentang perubahan Iman itu.
Malam itu, Malek dan Rashidah mengajak Iman berbual-bual. Mak dan ayah Malek juga berada bersama mereka. Malek menyuruh Iman menyanyikan lagu yang sering dinyanyikan. Nyanyian itu sangat pelik, umpama lagu orang lama. Bila ditanya siapa yang ajar, kata Iman kawannya yang ajar. Kawannya itu tinggal berhampiran pokok besar. Malek dapat agak yang mana satu dimaksudkan Iman. Menurut Iman lagi, kawannya itu juga ada datang ke rumah Malek untuk bermain dengannya. Pernah dia ajak Iman ke rumahnya tapi Iman tolak kerana takut atuk dan neneknya marah. Itu kata Iman.
Terdiam Malek, Rashidah dan ibu bapa Iman mendengarkan kata-kata Iman itu. Keesokan harinya Malek terus berjumpa seorang ustaz dan menurut ustaz itu, pokok itu tempat tinggal satu keluarga bunian. Salah seorang anak mereka yang ingin berkawan dengan Iman. Nasib baik Iman kuat dan tidak mahu mengikut ke dunia mereka.
Dengan rundingan ustaz itu, keluarga bunian itu sanggup berpindah dan pokok itu ditebang. Sejak itu Iman tidak lagi dikunjungi kawan barunya itu. Namun sesekali, dia akan tetap menyanyikan lagu yang diajar kawannya itu walau pun puas ditegah!
Saya ingin menceritakan satu kisah yang terjadi di kampung saya di Sri Aman Sarawak. Telah terjadi peristiwa yang menakutkan semasa saya berusia 8 tahun. 20 tahun peristiwa tersebut telah berlalu tetapi masih segar didalam ingatan saya.
Kejadian tersebut berlaku angkara pembinaan perumahan baharu berdekatan dengan kawasan tanah perkuburan kampung kami. Banyak perumahan sedang didirikan dan suatu hari salah sebuah mesin excavator tidak sengaja menggali satu kuburan lama yang tidak bertanda. Semasa proses penggalian tersebut, satu rangka tulang manusia telah terkeluar. Semua pekerja telah terkejut dan melarikan diri akibat ketakutan dan kerja pembinaan telah tergendala untuk seketika. Di sini lah kisah seram tersebut bermula.
Pada malam tersebut kampung kami telah diganggu dengan bunyi pontianak yang mengilai dan seolah olah seperti bunyi menangis. Tiga buah rumah telah diganggu seperti pintu diketuk berulang kali dan digoyangkan dengan sangat kuat sekali.
Salah seorang jiran saya telah keluar dari rumah setelah mendengar bunyi ayam yang berkokok seolah-olah takutkan sesuatu. Pak cik Mail (bukan nama sebenar) terus keluar dan meninjau bahagian bawah rumah menggunakan lampu suluh. Terdapat buaian kain yang selalu digunakan anak-anaknya untuk bermain di siang hari. Buaian tersebut bergerak dengan sendiri seolah-olah ada orang yang duduk di dalam buaian tersebut. Dia terus membaca ayat kursi dan hembus ke arah buaian tersebut. Tiba-tiba kedengaran suara wanita di dalam kesakitan beserta bunyi mengilai dan terus hilang di dalam kesunyian malam.
Kisah tersebut tidak terhenti di situ saja. Seorang lagi jiran saya, Pak Mat (bukan nama sebenar) mendengar bunyi mengilai yang sangat kuat di hadapan jalan raya rumah nya. Dia terus membuka pintu lalu ternampak cik pontianak sedang bergerak secara terapung sambil mengilai dan menangis. Pak Mat dengan beraninya menyergah pontianak tersebut dan ia terus bertukar menjadi ayam hitam lalu terbang ke atas pokok. Kejadian demi kejadian seram telah berlaku pada malam tersebut.
Keesokan harinya penduduk kampung telah membuat mesyuarat tergempar dan mengetahui bahawa semua kejadian tersebut adalah berpunca daripada tulang yang telah terkeluar ketika kerja pembinaan menggali lubang dijalankan. Penduduk kampung telah bergotong-royong menyempurnakan tulang tersebut mengikut agama Islam. Selepas itu, pontianak tersebut tidak muncul lagi dan kampung kami telah kembali aman. Persoalannya, siapakah tuan empunya kubur yang tidak bertanda tersebut? Sehingga muncul pontianak di kampung kami? Segala persoalan tidak dapat dijawab hingga kehari ini. Wallahualam.