Jika selama ini, aku hanya mendengar kisah seram dari orang lain dan tidak pernah sekali pun aku nafikan yang hantu sememangnya wujud. Tetapi kali ini aku mengalaminya sendiri. Kisah ini bermula apabila aku dan suamiku berpindah ke rumah impian kami.
Rumah kami tidaklah besar mana, namun kami gembira kerana memiliki rumah sendiri. Jika selama ini kami hidup menyewa, kini tidak sabar merasai kehidupan di rumah sendiri. Setelah hampir tiga tahun mendirikan rumah tangga, kami masih belum dikurniakan cahaya mata dan menganggap mungkin Tuhan memberikan kami zuriat sekiranya kami benar-benar bersedia.
Setelah mendapat kunci, kami mula membeli kelengkapan rumah termasuklah barangan elektrik dan perabot. Segala kelengkapan kami sediakan beberapa bulan sebelum masuk ke rumah baru, maklumlah suami kerap bertugas di luar daerah. Biar pun rumah baru kami agak jauh dari pekan, tetapi kami berdua tidak kisah.
Masa yang dinanti telah tiba, kami memilih untuk masuk ke rumah pada hari Jumaat di sebelah pagi manakala di sebelah malamnya kami adakan majlis doa selamat dengan mengajak jemaah surau yang berdekatan ke rumah kami.
Malam pertama kami di rumah baru segalanya nampak indah dan berjalan lancar. Cuma agak pelik, apabila suamiku mimpi “dia pulang ke rumah dan apabila membuka pintu rumah, dia nampak kubur orang asli di dalam rumah.” Tetapi suami cuba sedapkan hati aku bahawa ia sekadar mainan tidur.
Hari-hari indah aku akhirnya terganggu apabila suaminya terpaksa outstation dan tinggalkan aku sendirian di rumah selama satu minggu.
Malam pertama aku rasa tak selesa. Lagi-lagi teringat tentang mimpi suamiku. Setiap bunyi, setiap pergerakan, aku rasa takut. Aku telefon suami, paksa dia balik. Aku takut. Suami cuba tenangkan aku. Dia kata itu semua dalam fikiran aku saja. Dia juga ada ingatkan masa pindah kita dah adakan majlis doa. Nak tak nak, aku kena terima nasib aku.
Malam kedua aku tak setakut malam pertama. Mungkin sebab aku dah lalui malam pertama seorang diri perasaaan takut tu dah hilang. Aku sedang makan sambil tonton tv, rasanya dalam pukul 11pm, tiba-tiba aku dengar cawan terjatuh. Aku Terkejut. Aku pergi ke dapur dan nampak cawan di bawah lantai. Nasib tak pecah. Aku simpan cawan tu. Tiba-tiba aku dengar guli berguling. Mana pula datang guli ni. Aku tutup tv. Masuk dalam bilik dan paksa mata untuk lelap.
Keesokkan harinya aku call suami, seperti biasa aku paksa dia balik. Aku terang apa berlaku semalam. Suami aku beritahu bahawa cawan tu jatuh tu mungkin cicak langgar. Bunyi guli pula, mungkin sound dalam tv. Sekali lagi aku terima nasib aku. 5 je hari lagi aku beritahu dalam hatiku.
Malam ketiga. Aku mandi, makan, tengok tv. Alhamdulillah, tiada gangguan malam ni. Aku beritahu diri aku. Dalam pukul 10 pm aku pun masuk tidur. Tepat jam 2 am, aku terjaga dari tidur. Aku duduk sekejap. Lihat sekelilingku. Tiba-tiba aku dengar suara suami sayu-sayu memanggil aku. Dalam hati terdetik, bila masa pula dia balik. Dia panggil lagi. Aku pun bangun cari suami. Aku check di ruang tamu, tak ada. Aku check di dapur, tak ada. Aku panggil nama dia. Tak ada orang balas. Aku intai kat luar, kereta dia tak ada.
Tiba-tiba aku rasa ada sesuatu lalu di belakang aku. Aku cepat-cepat toleh tapi tak ada orang. Aku nampak kelibat suami aku masuk dalam bilik. Aku panggil nama dia tapi tidak dijawab. Aku masuk ke bilik dan nampak lembaga menyerupai suami aku sedang mencangkung. Aku baca surah kursi. Lembaga itu toleh ke belakang memandang aku sambil panggil nama. Aku rebah dan pengsan.
Esok siangnya, aku menghubungi suami dan minta dia balik dengan segera. Suami aku jelaskan bahawa masih banyak urusan yang perlu dia selesaikan tetapi aku tetap merayu-rayu, akhirnya kami bergaduh. Dia tak boleh tinggalkan kerjanya dan minta aku faham. Aku hang up dia.
Malam keempat. Suami aku cuba call tapi aku tak nak angkat. Aku marah dengan dia. Dia sepatutnya faham aku perlukan dia. Selepas sembahyang, aku nak tidur awal. Harap kali ni aku tak sedar. Sebaik sahaja nak tidur, aku rasa seram sejuk. Aku rasa seperti di perhatikan. Aku paksa untuk tutup mata. Tiba-tiba terdengar seperti ada beberapa orang sedang berbisik di luar pintu. Aku rasa takut. Perlahan-lahan aku buka mata. Tiba-tiba apabila aku toleh ke kiri, aku terpandang wajah perempuan hodoh dan rambutnya panjang mengurai. Hampir terkencing aku menjerit. Berlari keluar ke ruang tamu, aku nampak batu nisan penuhi rumah aku. Kanan kiri penuh dengan lembaga. Ada perempuan tua menjerit seperti menghalau aku keluar. Aku tak tahu nak buat apa. Terkedu dan menangis tak bergerak dari situ.
Aku dengar bunyi deruman enjin kereta di luar buatkan hatiku tiba-tiba tenang. Suami aku ke tu? Sebaik sahaja pintu rumah di buka, aku nampak suami dan aku terus pengsan. Sedar-sedar aku telah berada di rumah ibu.
Ada seorang Ustaz yang merawat aku menyarankan untuk aku berehat seketika di kampung halaman agar semangat ku kembali pulih. Setelah merujuk dengan penduduk setempat, tapak rumah kami merupakan tapak tanah perkuburan penduduk orang asli.
Barangkali ketika proses penambakan tapak ia tidak diselenggarakan dengan baik, maka roh-roh tersebut tidak tenteram lalu mengusik penghuni rumah di kawasan tersebut. Selepas kejadian itu kami pindah. Kami cuba jual rumah itu, tapi tiada pembeli. Sampao sekarang rumah itu terbiar di makan alam.
Selepas bersara, Malik dan Rashidah mengambil keputusan untuk tinggal di kampung. Mereka mendirikan rumah setingkat yang mempunyai lima bilik di tanah pusaka milik keluarga Malik yang terletak di hujung kampung. Kawasan itu pun masih belum banyak rumah yang dibina.
Malik dan Rashidah memiliki empat orang anak dan hanya yang perempuan sulungnya yang sudah berkahwin dan dikurniakan seorang cucu lelaki, Iman berusia lima tahun. Manakala tiga lagi masih menuntut di pusat pengajian tinggi.
Selepas berpindah ke kampung, setiap dua minggu anak sulungnya sekeluarga pulang balik ke rumah. Sesekali jika anak mereka perlu berkursus atau bertugas di luar daerah, cucunya itu akan ditinggalkan bersama Malik dan Rashidah.
Pada waktu petang jika Iman ada di rumahnya, Malik gemar membawa Iman keluar bersiar-siar di sekeliling kampung. Setiap kali tiba di depan sebuah pokok besar yang rendang, Iman pasti akan menoleh pada pokok itu berkali-kali. Katanya, dia mendengar suara orang menyanyi di bawah pokok. Sedap suaranya. Malek terus memarahi Iman dan mengatakan tak ada sesiapa yang menyanyi di situ. Sejak itu, Iman tak pernah cakap apa-apa tapi setiap kali lalu di depan pokok yang sama, dia akan menoleh berkali-kali.
Sehinggalah pada satu hari, Rashidah memberitahu Malek, setiap kali dia memandikan Iman selepas pulang berjalan-jalan dengan Malik, Iman suka menyanyi satu lagu yang pelik.Iman kata kawan barunya yang ajar. Benda yang sama berulang setiap kali Iman ke rumah Malek. Pernah juga Iman bercakap seorang diri seolah-olah bermain dengan seseorang. Malek dan Rashidah perasan tentang perubahan Iman itu.
Malam itu, Malek dan Rashidah mengajak Iman berbual-bual. Mak dan ayah Malek juga berada bersama mereka. Malek menyuruh Iman menyanyikan lagu yang sering dinyanyikan. Nyanyian itu sangat pelik, umpama lagu orang lama. Bila ditanya siapa yang ajar, kata Iman kawannya yang ajar. Kawannya itu tinggal berhampiran pokok besar. Malek dapat agak yang mana satu dimaksudkan Iman. Menurut Iman lagi, kawannya itu juga ada datang ke rumah Malek untuk bermain dengannya. Pernah dia ajak Iman ke rumahnya tapi Iman tolak kerana takut atuk dan neneknya marah. Itu kata Iman.
Terdiam Malek, Rashidah dan ibu bapa Iman mendengarkan kata-kata Iman itu. Keesokan harinya Malek terus berjumpa seorang ustaz dan menurut ustaz itu, pokok itu tempat tinggal satu keluarga bunian. Salah seorang anak mereka yang ingin berkawan dengan Iman. Nasib baik Iman kuat dan tidak mahu mengikut ke dunia mereka.
Dengan rundingan ustaz itu, keluarga bunian itu sanggup berpindah dan pokok itu ditebang. Sejak itu Iman tidak lagi dikunjungi kawan barunya itu. Namun sesekali, dia akan tetap menyanyikan lagu yang diajar kawannya itu walau pun puas ditegah!
Ini kisah benar. Pengalaman aku sendiri. Aku pernah bekerja dengan satu produksi yang menghasilkan cerita mistik. Aku bekerja sebagai penolong penerbit dalam produksi itu. Suri (bukan nama sebenar), adalah penerbit baru untuk siri itu. Dia sangat dedikasi dengan kerjanya. Tawaran untuk menjadi penerbit sukar untuk di tolak.
Untuk episod seterusnya kami akan ke Janda Baik. Di situ kami akan rakam dua episod terus. Kumpulan kami mempunyai 7 orang, termasuk 3 jurukamera dan dua budak intern. Kami tiba di Janda Baik lebih kurang 12 tengahari. Seperti biasa ada sedikit briefing mengenai apa visual dan isu yang kita inginkan rakam. Sebaik sahaja selesai briefing dan makan tengahari, kami berpecah kepada dua kumpulan. Saya dan Suri bersama 2 jurukamera akan interview seorang lelaki yang di katakan lumpuh. Doktor juga tidak memberi harapan untuk dia pulih. Lelaki ini dapat jalan semula di sebabkan kehebatan bomoh ini. Satu lagi pasukan di tugaskan untuk mengambil cutways dan montaj. Jadi, Suri meninggalkan Abang Lan, salah seorang jurukamera bersama dua budak intern.
Interview berjalan lancar. Dia juga bawa kami jumpa dengan bomoh yang merawatnya. Apabila kami sampai ke rumah bomoh, sekeliling rumahnya nampak biasa, tapi apabila masuk ke dalam rumah, penuh dengan barang-barang bomohnya. Bau kemenyan sangat kuat. Badan rasa tak sedap hati je. Walau begitu, dia membenarkan kami rakam dan interview dirinya. Selepas selesai, dia membawa keluar sebuah botol kecil. Dia memberitahu dalam botol itu adalah toyol yang dia tangkap. Dari mata pandangan aku nampak seperti akar yang tersimpul je. Entahlah.
Dalam perjalanan pulang, Suri memberitahu bahawa dia pening kepala dan ingin tidur sekejap. Tak lama kemudian, ada dua makhluk di antara anjing atau monyet, mengejar kereta kami. Cara pergerakan mereka seperti anjing, tapi rupanya seperti monyet. Aku suruh kameraman aku merakam makhluk itu. Sebelum sempat, makhluk itu beredar.
Beberapa kilometer dari tempat penginapan kami, ada kubur. Semasa kami lalu kawasan itu, kami nampak Abang Lan dan dua budak intern sedang merakam. Salah seorang budak intern itu berlakon sebagai puntianak. Apa gila lah mereka buat ni. Tak ada perasaan hormat dekat alam langsung. Dah la waktu hampir magrib. Aku menjerit dan menyuruh mereka pulang. Suri terjaga. Dia melihat apa yang berlaku tanpa kata apa-apa.
Setiba di tempat penginapan kami, aku mempersoalkan keputusan merakam di kubur. Suri hanya duduk di tepi rumah diam. Ada sesuatu yang pelik dengan Suri. Matanya berkeliaran memandang. Aku duduk sebelah dia dan cuba tanya keadaannya. Dia tidak menjawap, lalu beredar sahaja.
Selepas segarkan diri. Kami di panggil untuk makan malam. Kami pun berkumpul menjamu selera. Suri datang lambat sikit. Matanya masih berkeliaran. Aku rasa meremang melihatnya. Cara dia kaut nasi juga pelik. Seperti makhluk buas. Semasa dia menelan nasi, aku seperti terlihat di lehernya ada halkum. Ish.. tak mungkin perempuan ada halkum. Salah seorang jurukamera kita ni kuat sikit agama. Dia tahu la sedikit sebanyak nak ubat orang. Pak Di berkata, “Dia dah mari dah”. Apa yang mari? aku tanya diri sendiri. Tiba-tiba sahaja Suri mengilai. Terkejut mereka yang di meja kecuali Pak Di. Dia suruh kita yang jantan memegang Suri. Yang perempuan di minta ambil air dalam cawan. Pak Di suruh aku telepon bomoh tadi untuk datang ke sini dengan segera. Suri cuba melepaskan diri. Pak Di memgang hujung ibu kaki jari Suri. Pak Di memaksa roh yang merasuk Suri tinggalkan dia. Roh itu enggan.
Tiba-tiba budak intern yang berlakon sebagai pontianak pula kena histeria lalu pengsan. Keadaan menjadi tegang apabila kami terlepas Suri. Dia berlari ke pintu tapi aku sempat halang. Pak Di memegangnya semula.
Tidak lama kemudian, Suri sedarkan diri. Dia terus menangis. Bomoh tiba. Kami beritahu apa terjadi. Dia beritahu roh itu dah tak ada sekarang. Aku cuba tenangkan Suri. Bomoh itu duduk sambil minum air yang di sediakan. Dia tunggu sehingga jam 1. Tiada apa yang berlaku. Lihat Suri sudah tidur, Bomoh itu beredar balik. Kami pun merehatkan mata. Kami membuat keputusan untuk pulang ke KL seawal pagi esok. Aku pun lelapkan mataku.
Saya ingin menceritakan satu kisah yang terjadi di kampung saya di Sri Aman Sarawak. Telah terjadi peristiwa yang menakutkan semasa saya berusia 8 tahun. 20 tahun peristiwa tersebut telah berlalu tetapi masih segar didalam ingatan saya.
Kejadian tersebut berlaku angkara pembinaan perumahan baharu berdekatan dengan kawasan tanah perkuburan kampung kami. Banyak perumahan sedang didirikan dan suatu hari salah sebuah mesin excavator tidak sengaja menggali satu kuburan lama yang tidak bertanda. Semasa proses penggalian tersebut, satu rangka tulang manusia telah terkeluar. Semua pekerja telah terkejut dan melarikan diri akibat ketakutan dan kerja pembinaan telah tergendala untuk seketika. Di sini lah kisah seram tersebut bermula.
Pada malam tersebut kampung kami telah diganggu dengan bunyi pontianak yang mengilai dan seolah olah seperti bunyi menangis. Tiga buah rumah telah diganggu seperti pintu diketuk berulang kali dan digoyangkan dengan sangat kuat sekali.
Salah seorang jiran saya telah keluar dari rumah setelah mendengar bunyi ayam yang berkokok seolah-olah takutkan sesuatu. Pak cik Mail (bukan nama sebenar) terus keluar dan meninjau bahagian bawah rumah menggunakan lampu suluh. Terdapat buaian kain yang selalu digunakan anak-anaknya untuk bermain di siang hari. Buaian tersebut bergerak dengan sendiri seolah-olah ada orang yang duduk di dalam buaian tersebut. Dia terus membaca ayat kursi dan hembus ke arah buaian tersebut. Tiba-tiba kedengaran suara wanita di dalam kesakitan beserta bunyi mengilai dan terus hilang di dalam kesunyian malam.
Kisah tersebut tidak terhenti di situ saja. Seorang lagi jiran saya, Pak Mat (bukan nama sebenar) mendengar bunyi mengilai yang sangat kuat di hadapan jalan raya rumah nya. Dia terus membuka pintu lalu ternampak cik pontianak sedang bergerak secara terapung sambil mengilai dan menangis. Pak Mat dengan beraninya menyergah pontianak tersebut dan ia terus bertukar menjadi ayam hitam lalu terbang ke atas pokok. Kejadian demi kejadian seram telah berlaku pada malam tersebut.
Keesokan harinya penduduk kampung telah membuat mesyuarat tergempar dan mengetahui bahawa semua kejadian tersebut adalah berpunca daripada tulang yang telah terkeluar ketika kerja pembinaan menggali lubang dijalankan. Penduduk kampung telah bergotong-royong menyempurnakan tulang tersebut mengikut agama Islam. Selepas itu, pontianak tersebut tidak muncul lagi dan kampung kami telah kembali aman. Persoalannya, siapakah tuan empunya kubur yang tidak bertanda tersebut? Sehingga muncul pontianak di kampung kami? Segala persoalan tidak dapat dijawab hingga kehari ini. Wallahualam.