Tahun baru telah bermula. Ini bermakna tiba masa untuk bersekolah semula. Alina tidak sabar untuk ke sekolah. Tambahan pula tahun ini amat penting dalam hidupnya kerana bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
Alina bernasib baik kerana lokasi sekolah menengah yang dihadirinya itu tidak jauh dari rumah. Dia boleh berbasikal ke sana. Disebabkan tidak mahu terlambat pada hari pertama persekolahannya, Alina telah keluar awal dari rumah.
Teruja Ingin Jumpa Kawan
Tidak sampai 15 minit, Alina sudah sampai ke perkarangan sekolah barunya. Hari pertama sekolah dibuka Alina berasa amat gembira kerana dapat bertemu dengan beberapa orang rakannya yang sama-sama memilih sekolah menengah yang sama.
Hari pertama persekolahan segala-galanya berjalan dengan baik. Alina tidak sabar untuk menunggu keesokan harinya. Dia berazam untuk pergi setiap hari ke sekolah. Sasarannya adalah untuk belajar dengan lebih tekun untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik.
Pagi pada hari kedua, Alina tetap bersiap dengan awal. Biarpun keadaan di luar masih gelap, Alina terus ke sekolah seorang diri. Emaknya berpesan agar Alina menunggu adiknya agar mereka boleh pergi Bersama. Tetapi Alina tidak mempedulikan nasihat emaknya.
Alina tidak takut pergi seorang diri. Dia bukannya mahu meninggalkan adiknya. Tetapi adiknya bukan pergi ke sekolah seorang diri. Dia ada dua orang kawan yang sama-sama bersekolah di sekolah yang sama.
Seperti semalam, Alina mengayuh basikal tanpa mempedulikan keadaan sekeliling. Fokusnya adalah untuk ke sekolah. Tetapi apabila tiba di persimpangan jalan, tiba-tiba dia rasa seram sejuk.
Dia terasa seperti ada sesuatu yang mengekorinya. Naik bulu romanya. Segera ditolehnya ke belakang. Namun tidak ada apa-apa pun mengekorinya. Sebaliknya hanya ada beberapa batang pokok besar di sekelilingnya.
Tanpa berlengah Alina mengayuh basikal dengan laju. Tetapi kali ini dia terasa seperti ada seseorang menghembuskan nafas di lehernya. Hati Alina tidak keruan. Dia terus menoleh ke belakang. Tetapi sebaik memandang ke belakang, tidak ada sesiapa pun di situ.
Kayuhannya semakin laju. Kali ini bukan hembusan nafas yang dirasakan. Sebaliknya angin kuat menolaknya dari belakang. Alina terus menoleh ke belakang. Sebaik menoleh dia tergamam apabila melihat satu makhluk sedang bertenggek di atas sebatang pokok besar.
Ngeri dan menyeramkan wajah makhluk tersebut. Tidak pernah dia berhadapan dengan makhluk sebegitu menakutkan dalam hidupnya.
Semakin lama Alina memandang, mata makhluk itu semakin besar. Makhluk itu turut menyeringai menunjukkan giginya yang tersusun tajam. Kecut perut Alina melihatnya. Kayuhannya terus terhenti. Dia seperti terpaku di atas jalan.
Tak Tentu Arah
Alina ingin menjerit tetapi mulutnya seakan terkunci. Dia juga ingin meninggalkan basikalnya. Tetapi dia mampu bergerak. Seakan terpaku di tanah. Begitulah keadaan Alina apabila adiknya menemuinya beberapa minit kemudian.
Adik Alina memanggilnya. Dia hairan kenapa kakaknya berdiri seperti patung di atas jalan raya. Sebaik menghampiri, kakaknya tetap terpaku seperti patung. Apa yang telah terjadi. Hairan sungguh adik Alina melihat keadaan kakaknya.
Melihatkan keadaan Alina itu, salah seorang kawan adiknya terus mengayuh basikal kembali semula menuju ke rumah. Niat adiknya untuk ke sekolah pun terbantut. Melihatkan tidak ada pergerakan daripada kakaknya, adik Alina terus menepuk bahu kakaknya itu untuk mengejutkannya.
Sukar juga untuk menyedarkan Alina. Hanya setelah adik Alina menyapu air ke muka kakaknya itu, barulah Alina seperti terjaga daripada mimpi. Alina seperti terkejut melihat adiknya yang ada di hadapan matanya.
Tidak beberapa lama kemudian, kawan adik Alina kembali semula tempat kejadian bersama dengan bapa Alina. Melihatkan keadaan Alina seperti tidak tentu arah itu telah menyebabkan bapa Alina terus membawanya pulang ke rumah.
Sebaik sampai di hadapan rumah, tiba-tiba bapa Alina terdengar suara anaknya bercakap. Dia seperti baru tersedar dari mimpi. Terus dia meletakkan anaknya di atas kerusi. Sebaik duduk, tiba-tiba sahaja Alina menangis tidak berhenti-henti.
Demam
Belum sempat bapanya menenangkannya, tiba-tiba Alina pengsan. Suhu badannya mula meningkat. Badannya mula panas dan akhirnya Alina demam akibat terkejut. Alina tidak sedarkan dirinya.
Kelam-kabut bapa Alina melihatkan keadaan anaknya. Terus dia meminta adik Alina memanggil ustaz Ali yang tinggal tidak jauh dari rumah mereka. Tidak lama kemudian ustaz Ali pun tiba.
Sebaik ustaz Ali memeriksa Alina, lelaki itu mengatakan Alina hanya terkejut. Biarlah dia tidur. Sebaik dia terjaga barulah mereka boleh bertanya pada Alina. Keesokan hari barulah Alina sedar.
Apabila ditanya oleh bapanya, Alina seperti tidak mampu bercerita. Dia hanya terdiam. Beberapa kali ditanya, Alina tidak jawab. Akhirnya setelah Alina dimandikan barulah anaknya itu seakan sedar dengan apa yang berlaku. Dia mula bercerita apa yang berlaku.
Keesokan harinya Alina tidak ke sekolah. Setelah dua hari cuti barulah dia mula berani untuk ke sekolah. Tetapi kali ini Alina tidak ke sekolah berseorangan. Setiap hari bapanya perlu menghantar ke sekolah.
Malah setiap kali melalui kawasan simpang jalan di mana terdapat pokok besar itu sudah pasti Alina akan mula menggigil ketakutan. Sampai bila dia berperasaan begitu, Alina tidak tahu. Apa yang pasti selepas ini dia tidak akan berani mengayuh basikal secara keseorangan ke sekolah.
∞
Kisah ini daripada kawan saya. Kak Shida. Dia cerita pengalaman lahirkan anak pertama. Sekarang dia sudah mempunyai 5 orang anak.
Kak Shida tidak percaya dengan kepercayaan nenek moyang kita. Lagi-lagi yang melanggar ajaran Islam. Satu hari dia baru balik dari hospital, selepas beranakkan anak pertamanya, dia ternampak di tingkap biliknya ada paku panjang, ada besi berani dan pokok lidah jin. Kak Shida mengamuk. Ibunya memberitahu yang Kak Shida, “Kau ni baru bersalin. Anak kau yang pertama darah manis. Kau tahukah kawasan rumah kita ni banyak penanggal. Ia sebagai pendinding diri.” Kak Shida dan keluarganya masih tinggal bersama ibunya. Maklumlah, rumah sekarang mahal.
‘Penanggal? Mengarutlah,’ Kak Shida berkata dalam hatinya. Ibunya sambung, “Dulu ada seorang dukun duduk tak jauh dari sini. Dia dah meninggal. Masalahnya dia tidak tinggalkan pewaris. Harta pusakanya terbiar.”
Anak Kak Shida menangis. Dia menyusukan anaknya sambil dengar cerita mak dia. “Dulu kawsan ni banyak di ganggu makhluk halus. Ini semua sebab dukun tu tak ada pewaris.” Kak Shida malas nak lawan dengan ibunya. Dia biarkan sahaja barang-barang itu di situ.
Dua tiga hari berlalu. Tidak ada apa-apa yang berlaku. Satu hari Kak Shida dah tak boleh tahan lihat barang-barang yang ibunya buat pendinding lalu dia simpan barang-barang itu dalam laci. Kak Shida masuk tidur.
Sedang dia nyenyak tidur, anak pertamanya menangis tak berhenti-henti. Malam itu suaminya bertugas malam manakala ibunya sedang tidur di bilik sebelah. Kak Shida cuba tidurkan dia semula tapi dia tidak nak tidur. Bagi susu tak nak. Ibunya masuk ke bilik, “Kenapa tu Shida?”.
Ibunya pandang ke dinding dan lihat barang-barang pendinding sudah hilang. Ibunya mengamuk, “Mana barang-barang yang aku letak dekat tingkap?” Shida tunjuk di dalam laci.
Ibunya sambung bercakap sambil memasang semula barang itu, “Itu kenapa anak kau menangis… Kau tahu tak depan tingkat tu ada penanggal.” Kak Shida tengok kat tingkat, tak ada apa-apa pun. Malas nak gaduh dengan ibunya dia senyap je. Anak dia pun berhenti menangis. Kak Shida tidurkan anak dia dan ibunya tinggalkan Kak Shida. Dia pesan jangan usik barang kat tingkap itu.
Apabila Kak Shida baru nak lelap, dia dengar bunyi ketukan. Dia bertanya kepada dirinya siapa pulak yang ketuk pintu. Tapi itu bukan bunyi ketuk pintu, tapi tingkap bilik. Kak Shida pusing dan hilang penaggal. Rambutnya panjang, lidahnya terkeluar dan tali perut terurai-urai. Terkejut Kak Shida. Dia terkaku. Itulah kali pertama dia nampak makhluk halus.
Anak dia sambung menangis. Ibunya segera ke bilik. Kak Shida masih tak bergerak. Ibunya angkat anaknya dan menarik Shida keluar dari bilik. Penanggal itu masih mengetuk-getuk tingkap.
Selepas Shida sedar, ibunya suruh Shida menyusukan anaknya. “Itu ibu cakap. Kau tak percaya.” Malam itu Shida tidur dengan ibunya.
Keesokkan malam suami Kak Shida cuti. Dia bersyukur sangat. Suaminya tak tahu apa yang berlaku semalam. Dia tak nak beritahu. Kak Shida masih dalam keadaan trauma. Kak Shida tak berani masuk bilik seorang diri. Malam itu anaknya sudah tidur. Suaminya ingin hisap rokok. Dia tak benarkan suaminya hisap rokok. Suaminya berasa pelik sambil tinggalkan isterinya. Baru sahaja nak ke laman luar, Kak Shida angkat anak dia ikut suaminya. Makin konfius suami Kak Shida.
Suaminya hisap rokok, Shida melihat dari dalam rumah. Mata Kak Shida hanya fokus ke suaminya. Selepas selesai hisap rokok, suaminya mengunci pintu dan mengajak Kak Shida masuk tidur. Tiba-tiba dia dengar ketukan dari pintu. Suaminya ingin buka pintu tapi di larang oleh Kak Shida. Walau bagaimana pun dia masih buka pintu. Tiada siapa di luar. Bulu roma Kak Shida mula meremang. Suaminya berasa pelik. Pintu di tutup semula. Mereka masuk ke dalam bilik. Sebaik sahaja masuk bilik, penaggal itu sudah ada dalam bilik. Terkejut suaminya.
Penanggal itu seperti mahu menikam anak mereka. Kak Shida menjerit dan berlari keluar dari bilik. Ibunya juga keluar dari bilik. Penanggal itu cuba menikam semula anak mereka. Ibunya membaca ayat Ruqyah. Penanggal itu seperti tidak tenteram. Dia mahu keluar dari rumah. Suaminya membuka pintu dan Penanggal itu keluar dari rumah.
Keesokkan harinya dia meminta bantuan ustaz.
∞
Lokman Bacik merupakan seorang penulis dan pengarah teater yang disegani pada awal zaman 80-an. Tetapi kini dia tinggal di kampung kerana kecewa dengan industry teater tanah air. Sudah lebih 20 tahun dia tidak menulis dan mengarah drama pentas. Dia kini Cuma aktif dengan persatuan penulis setempat sebagai penyair.
Satu hari, dia telah didatangi oleh pegawai belia yang meminta die mementaskan satu persembahan teater sempena Hari Belia Negara bagi sambutan peringkat negeri. Tanpa berfikir panjang, Bacik pun bersetuju. Akhirnya, skrip terakhir yang ditulisnya satu ketika dahulu, dapat juga dipentaskan. Skrip tersebut membawa makna besar bagi dirinya.
Skrip pentas itu ditulis berdasarkan mitos kampungnya. Naskah SUMPAH PUTERI BONGSU bukanlah satu skrip biasa baginya. Ia ditulis bagi membuktikan bahawa sumpahan yang dikatakan mitos itu adalah betul-betul wujud. Masih jelas di ingatan Bacik akan peristiwa-peristiwa pelik yang menimpanya saat dia sedang menulis skrip tersebut.
Bacik mula mengumpul belia-belia penggiat teater pentas setempat untuk tujuan itu. Malah, beberapa pelakon teater terkenal dari Kuala Lumpur yang sebelum ini pernah bekerja dengan beliau juga turut dijemput untuk menyertai teater itu. Pelakon teater dari Kuala Lumpur ditempatkan di sebuah Homestay berdekatan dewan di mana mereka melakukan latihan. Mereka bersama-sama memulakan latihan selain membaik pulih keadaan dewan yang sudah using itu.
Seperti yang dijangka Bacik, pelbagai peristiwa pelik dan luar biasa terjadi ketika mereka memulakan latihan. Secara peribadi, Bacik teruja dengan peristiwa pelik yang menimpa itu. Ia menguatkan lagi kepercayaannya terhadap Sumpahan Puteri Bongsu itu. Antara yang paling sering diganggu adalah pelakon wanita utama yang memegang watak Puteri Bongsu.
Satu malam, Zahirah Zain, pelakon wanita utama teater ini sedang duduk dalam bilik salinan seorang diri. Dia sedang menghafal skrip Sumpah Puteri Bongsu. Pekerja produksi semuanya sedang berkumpul di luar teater untuk jamu selera makan malam. Zahirah masih kenyang. Semasa dia sedang menghafal skrip, Zahirah seperti ternampak muka perempuan lain di dalam cermin.
Rambutnya hitam, panjang ikal mayang, muka bagai bujur sireh, matanya bersinar bak bintang kejora, hidungnya mancung seludang mayang, pipi bagai pauh dilayang, bibirnya merah bak delima merekah, kulitnya putih kuning, senyumannya manis ibarat madu… Perempuan itu sedang memerhatikan Zahirah.
Adakah itu puteri bongsu? tanya Zahirah seorang diri. Wanita itu buka mulut dan mula nyanyi. Zahirah terkejut.
“Tersebutlah kisah satu cerita
Puteri bongsu cantik jelita
Sangat dikenali rakyat jelata
Nasibnya malang berdukacita”
Zahirah dengan perasaan takutnya berlari ke tempak produksi kumpul. Dia menceritakan apa terjad
Begitu juga pelakon yang memegang watak hero utama. Pernah tiba-tiba dia mengadu berasa penah sekali dan mengantuk. Kemudian perasaan itu seolah-olah dia sedang berkhayal di mana dia dibawa ke sebuah tempat yang indah dan bertemu dengan puteri jelita. Bagi mengurangkan gangguan dan meredakan perasaan takut pelakon-pelakon itu, Bacik membawa mereka ke sebuah kawasan air terjun untuk mengadakan upacara mandi bunga. Namun, para pelakon dari Kuala Lumpur tidak menyenangi tindakan Bacik itu.
Walaupun para pelakon telah diberikan tempoh yang mencukupi untuk latihan teater, namun tiga hari sebelum persembahan sebenar, ramai pelakon lain yang belum betul-betul menjiwai watak masing-masing. Pelakon utama turut belum fasih menghafal skrip masing-masing. Namun, perkara tersebut tidak mendatangkan kerisauan kepada Bacik. Bacik akan menyeru Puteri Bongsu untuk membantu manjayakan persembahan dia.
Pada malam persembahan sebenar, Bacik memulakan uoacaranya. Sedulang peralatan menyembah disediakannya. Beras kunyit ditabur di pentas sambal mulutnya kumat-kamit embaca serapah. Selepas itu, dia menyuruh para pelakonnya meminum air jampi yang telah disediakannya.
Persembahan bermula. Persatuan Belia Dewan duduk di barisan hadapan sekali bersama-sama pegawai belia dari Kuala Lumpur. Babak pertama dimulakan dengan persembahan silat oleh seorang pelakon pendek dan seorang pelakon tinggi. Tiba-tiba pelakon yang pendek itu mula berubah perlakuan dan menjadi lebih agresif. Dia menyerang pelakon yang tinggi itu dengan jurus silat yang tiada dalam latihan mereka. Pelakon yang lebih tinggi mula menjadi panik. Suasana di belakang pentas mulai hingar.
Tiba-tiba mekap artis mulai menjerit hysteria. Pelakon yang melakonkan watak Puteri Bongsu duduk di suatu sudut sambil mengirai-ngirai rambutnya yang telah disanggul. Jelas dia telah dirasuki oleh suatu makhluk asing. Walaupun begitu, keadaan di pentas lakonan berjalan lancar. Semua penonton tidak menyedari apa yang berlaku.
Bomoh dipanggil bagi meredakan keadaan di belakang pentas. Adakalanya bomoh dan pelakon yang dirasuk terlajak masuk ke pentas utama. Tetapi pelakon lain terpaksa secara spontan menambah dialog bagi menjadikan ia umpama sebuah lakonan. Begitulah sehingga akhir persembahan. Di pentas segala berjalan lancar hinggakan penonton langsung tidak sedar apa yang berlaku. Manakala di belakang pentas pula hingar, pelakon dirasuk. Lokman Bacik tersenyum puas seperti dia telah berjaya buktikan sesuatu.
Bila tamat persembahan, seorang pegawai tinggi Belia menaiki pentas untuk bersalaman dengan pelakon kecuali pelakon watak Puteri Bongsu yang masih lemah di belakang pentas akibat dirasuk. Pegawai tersebut sangat terhibur dengan persembahan teater tersebut dan menawarkan agar naskah teater itu dibawa ke Kuala Lumpur untuk dipentaskan. Tetapi tanpa berfikir panjang, semua pelakon menolak untuk terlibat dengan teater SUMPAH PUTERI BONGSU lagi.
∞
Ini kisah benar. Pengalaman aku sendiri. Aku pernah bekerja dengan satu produksi yang menghasilkan cerita mistik. Aku bekerja sebagai penolong penerbit dalam produksi itu. Suri (bukan nama sebenar), adalah penerbit baru untuk siri itu. Dia sangat dedikasi dengan kerjanya. Tawaran untuk menjadi penerbit sukar untuk di tolak.
Untuk episod seterusnya kami akan ke Janda Baik. Di situ kami akan rakam dua episod terus. Kumpulan kami mempunyai 7 orang, termasuk 3 jurukamera dan dua budak intern. Kami tiba di Janda Baik lebih kurang 12 tengahari. Seperti biasa ada sedikit briefing mengenai apa visual dan isu yang kita inginkan rakam. Sebaik sahaja selesai briefing dan makan tengahari, kami berpecah kepada dua kumpulan. Saya dan Suri bersama 2 jurukamera akan interview seorang lelaki yang di katakan lumpuh. Doktor juga tidak memberi harapan untuk dia pulih. Lelaki ini dapat jalan semula di sebabkan kehebatan bomoh ini. Satu lagi pasukan di tugaskan untuk mengambil cutways dan montaj. Jadi, Suri meninggalkan Abang Lan, salah seorang jurukamera bersama dua budak intern.
Interview berjalan lancar. Dia juga bawa kami jumpa dengan bomoh yang merawatnya. Apabila kami sampai ke rumah bomoh, sekeliling rumahnya nampak biasa, tapi apabila masuk ke dalam rumah, penuh dengan barang-barang bomohnya. Bau kemenyan sangat kuat. Badan rasa tak sedap hati je. Walau begitu, dia membenarkan kami rakam dan interview dirinya. Selepas selesai, dia membawa keluar sebuah botol kecil. Dia memberitahu dalam botol itu adalah toyol yang dia tangkap. Dari mata pandangan aku nampak seperti akar yang tersimpul je. Entahlah.
Dalam perjalanan pulang, Suri memberitahu bahawa dia pening kepala dan ingin tidur sekejap. Tak lama kemudian, ada dua makhluk di antara anjing atau monyet, mengejar kereta kami. Cara pergerakan mereka seperti anjing, tapi rupanya seperti monyet. Aku suruh kameraman aku merakam makhluk itu. Sebelum sempat, makhluk itu beredar.
Beberapa kilometer dari tempat penginapan kami, ada kubur. Semasa kami lalu kawasan itu, kami nampak Abang Lan dan dua budak intern sedang merakam. Salah seorang budak intern itu berlakon sebagai puntianak. Apa gila lah mereka buat ni. Tak ada perasaan hormat dekat alam langsung. Dah la waktu hampir magrib. Aku menjerit dan menyuruh mereka pulang. Suri terjaga. Dia melihat apa yang berlaku tanpa kata apa-apa.
Setiba di tempat penginapan kami, aku mempersoalkan keputusan merakam di kubur. Suri hanya duduk di tepi rumah diam. Ada sesuatu yang pelik dengan Suri. Matanya berkeliaran memandang. Aku duduk sebelah dia dan cuba tanya keadaannya. Dia tidak menjawap, lalu beredar sahaja.
Selepas segarkan diri. Kami di panggil untuk makan malam. Kami pun berkumpul menjamu selera. Suri datang lambat sikit. Matanya masih berkeliaran. Aku rasa meremang melihatnya. Cara dia kaut nasi juga pelik. Seperti makhluk buas. Semasa dia menelan nasi, aku seperti terlihat di lehernya ada halkum. Ish.. tak mungkin perempuan ada halkum. Salah seorang jurukamera kita ni kuat sikit agama. Dia tahu la sedikit sebanyak nak ubat orang. Pak Di berkata, “Dia dah mari dah”. Apa yang mari? aku tanya diri sendiri. Tiba-tiba sahaja Suri mengilai. Terkejut mereka yang di meja kecuali Pak Di. Dia suruh kita yang jantan memegang Suri. Yang perempuan di minta ambil air dalam cawan. Pak Di suruh aku telepon bomoh tadi untuk datang ke sini dengan segera. Suri cuba melepaskan diri. Pak Di memgang hujung ibu kaki jari Suri. Pak Di memaksa roh yang merasuk Suri tinggalkan dia. Roh itu enggan.
Tiba-tiba budak intern yang berlakon sebagai pontianak pula kena histeria lalu pengsan. Keadaan menjadi tegang apabila kami terlepas Suri. Dia berlari ke pintu tapi aku sempat halang. Pak Di memegangnya semula.
Tidak lama kemudian, Suri sedarkan diri. Dia terus menangis. Bomoh tiba. Kami beritahu apa terjadi. Dia beritahu roh itu dah tak ada sekarang. Aku cuba tenangkan Suri. Bomoh itu duduk sambil minum air yang di sediakan. Dia tunggu sehingga jam 1. Tiada apa yang berlaku. Lihat Suri sudah tidur, Bomoh itu beredar balik. Kami pun merehatkan mata. Kami membuat keputusan untuk pulang ke KL seawal pagi esok. Aku pun lelapkan mataku.
∞