
Selepas bersara, Malik dan Rashidah mengambil keputusan untuk tinggal di kampung. Mereka mendirikan rumah setingkat yang mempunyai lima bilik di tanah pusaka milik keluarga Malik yang terletak di hujung kampung. Kawasan itu pun masih belum banyak rumah yang dibina.
Malik dan Rashidah memiliki empat orang anak dan hanya yang perempuan sulungnya yang sudah berkahwin dan dikurniakan seorang cucu lelaki, Iman berusia lima tahun. Manakala tiga lagi masih menuntut di pusat pengajian tinggi.
Selepas berpindah ke kampung, setiap dua minggu anak sulungnya sekeluarga pulang balik ke rumah. Sesekali jika anak mereka perlu berkursus atau bertugas di luar daerah, cucunya itu akan ditinggalkan bersama Malik dan Rashidah.
Pada waktu petang jika Iman ada di rumahnya, Malik gemar membawa Iman keluar bersiar-siar di sekeliling kampung. Setiap kali tiba di depan sebuah pokok besar yang rendang, Iman pasti akan menoleh pada pokok itu berkali-kali. Katanya, dia mendengar suara orang menyanyi di bawah pokok. Sedap suaranya. Malek terus memarahi Iman dan mengatakan tak ada sesiapa yang menyanyi di situ. Sejak itu, Iman tak pernah cakap apa-apa tapi setiap kali lalu di depan pokok yang sama, dia akan menoleh berkali-kali.
Sehinggalah pada satu hari, Rashidah memberitahu Malek, setiap kali dia memandikan Iman selepas pulang berjalan-jalan dengan Malik, Iman suka menyanyi satu lagu yang pelik.Iman kata kawan barunya yang ajar. Benda yang sama berulang setiap kali Iman ke rumah Malek. Pernah juga Iman bercakap seorang diri seolah-olah bermain dengan seseorang. Malek dan Rashidah perasan tentang perubahan Iman itu.
Malam itu, Malek dan Rashidah mengajak Iman berbual-bual. Mak dan ayah Malek juga berada bersama mereka. Malek menyuruh Iman menyanyikan lagu yang sering dinyanyikan. Nyanyian itu sangat pelik, umpama lagu orang lama. Bila ditanya siapa yang ajar, kata Iman kawannya yang ajar. Kawannya itu tinggal berhampiran pokok besar. Malek dapat agak yang mana satu dimaksudkan Iman. Menurut Iman lagi, kawannya itu juga ada datang ke rumah Malek untuk bermain dengannya. Pernah dia ajak Iman ke rumahnya tapi Iman tolak kerana takut atuk dan neneknya marah. Itu kata Iman.
Terdiam Malek, Rashidah dan ibu bapa Iman mendengarkan kata-kata Iman itu. Keesokan harinya Malek terus berjumpa seorang ustaz dan menurut ustaz itu, pokok itu tempat tinggal satu keluarga bunian. Salah seorang anak mereka yang ingin berkawan dengan Iman. Nasib baik Iman kuat dan tidak mahu mengikut ke dunia mereka.
Dengan rundingan ustaz itu, keluarga bunian itu sanggup berpindah dan pokok itu ditebang. Sejak itu Iman tidak lagi dikunjungi kawan barunya itu. Namun sesekali, dia akan tetap menyanyikan lagu yang diajar kawannya itu walau pun puas ditegah!
Pengalaman Ketika Keluar Lambat Dari Sekolah

Aku ingin menceritakan kisah yang berlaku kepada diri aku ketika di tingkatan 1 & 2 (2016-2017). Kisah ini berlaku dekat sekolah lama aku di Sabah. Masa tu aku sekolah di sesi petang. Aku seorang yang pendiam masa tu. Sepanjang aku di tingkatan 1 & 2, aku adalah jenis yang suka balik lewat. Semasa orang lain dah balik, aku masih berada di sekolah kerana masih ramai pelajar berada di pintu pagar sekolah. Jadi, aku balik lewat sehingga sekolah betul-betul sunyi. (kisah ini hanya berlaku di sekolah pada waktu senja).
Tingkatan 1
Kejadian ini berlaku apabila waktu balik, aku pergi ke kantin untuk duduk sementara menunggu pelajar lain balik. Masa tu kantin sudah sunyi hanya ditemani angin yang dingin. Di sebalik angin yang dingin, aku terdengar pili paip sinki di tandas lelaki terbuka. Pada awalnya aku tidak hiraukan, mungkin ada orang sedang mencuci tangan. Tiga minit kemudian, pili paip masih lagi kedengaran. Aku masa tu fikir ada orang tengah bazirkan air. Aku pun pergi ke tandas untuk memastikan apa yang berlaku tetapi tiada sesiapa di dalam tandas. Aku mula rasa tidak sedap hati ditambahkan pula rasa seram sejuk. Dengan tidak melengahkan masa, aku tutup pili paip, ambil beg dan keluar dari sekolah. Semasa keluar dari sekolah, pakcik pengawal keselamatan dari tadi memandang aku dengan wajah yang pelik. Kenapa dia pandang aku macam tu, aku tak nak ambil tahu. Aku cuma tak nak tertinggal van. Aku berlari ke tempat menunggu van yang hantar aku balik ke rumah. Apa yang berlaku tadi, aku sendiri tidak pasti. Pili paip terbuka sendiri, tapi tiada seorang pun di dalam tu.j
Tempat menunggu van tu lebih kurang 1 kilometer setengah dari sekolah. Ketika lalu dekat tempat orang bermain bola, aku nampak ada seorang pakcik dengan beberapa orang remaja sedang lepak di pondok. Tetapi yang peliknya, pakcik tu tak dilayan seolah-olah mereka tidak nampak kewujudan pakcik itu. Tanpa berfikir panjang, aku pun meneruskan perjalanan dalam keadaan berpeluh menuju tempat menunggu van. Maklumlah, berlari tadi. Setibanya di tempat tersebut, van hampir meninggalkan aku. Nasib baik sempat masuk. Kalau kena tinggal, tentu kena marah dengan ibu bapa dekat rumah.
Beberapa hari kemudian, aku masih dengan tabiat aku iaitu tunggu di sekolah sementara menunggu pelajar lain dah balik. Semasa melihat pemandangan di koridor bilik KHB (Kemahiran Hidup Bersepadu), aku terdengar ada orang sedang bercakap-cakap di tingkat dua. Suara mereka jelas didengari. Aku pun melihat ke atas untuk memastikan siapa yang sedang berbual. Tetapi tiada siapa pun yang berada di tingkat dua. Kosong pula tingkat tu. Aku pun ambil keputusan untuk keluar dari sekolah. Masa nak keluar dari sekolah, tiba-tiba terdengar bunyi orang berlari berkejaran. Aku pun jerit lah, “siapa tu”. Tiada siapa pun yang menyahut. Tiba-tiba ada hentakan kaki di koridor atas, aku pun lari meninggalkan tempat tu. Setibanya di tempat menunggu van, aku bernasib baik van belum datang.
Dua bulan tiada benda pelik berlaku sehingga bulan oktober. Mata pelajaran Bahasa Melayu, cikgu membawa kami ke perpustakaan. Laluan di luar perpustakaan memang gelap sebab perpustakaan berada di depan bilik guru 3. Sepanjang berada di perpustakaan, aku hanya membaca buku dan bosan. Sedang khusyuk membaca buku, aku ternampak ada kelibat di luar perpustakaan. Aku cuba meneliti. Kelihatan seorang lelaki dengan baju berlumuran darah. Perasaan takut terus menyelubungi, meremang, memang seram kalau lihat lelaki tu. Aku tutup muka dengan buku. Bila tengok balik, ‘benda’ tu sudah tiada. Kawan aku yang duduk di sebelah melihat aku dengan kehairanan, dia tanya kenapa dengan aku. Aku hanya memberitahu yang aku terkejut mimpi jatuh dari bangunan. Kalau aku beritahu dia tentang apa yang aku nampak tadi, sudah tentu dia tidak percaya.
Peperiksaan akhir tahun pun sudah berakhir, maka ramailah dekat kelas aku yang berbual tentang cuti hujung tahun. Ada yang balik kampung, ada yang bercuti ke tempat menarik, ada yang duduk rumah sahaja. Aku cuma duduk diam di tepi tingkap sambil memandang kelas lain. Aku nampak kelas di tingkat atas pintunya sekali terbuka dan tertutup. Aku perhati pintu itu untuk memastikan adakah disebabkan angin. Sah, memang pintu tu buka tutup sendiri. Aku pun buat-buat tidur sementara menunggu waktu balik. Selepas kes tu, maka cuti hujung tahun pun tiba. Aku tidak mahu memikirkan perkara itu sepanjang aku bercuti di kampung.
Tingkatan 2
Kisah ni berlaku pada pertengahan tahun. Cikgu membawa kami ke makmal bahasa untuk belajar. Mungkin belajar di makmal bahasa lebih seronok sebab tu cikgu bawa kami untuk belajar di situ. Ianya terletak di tingkat paling atas sekali. Dekat situ juga sangat sunyi jika dibandingkan dengan tingkat yang lain. Memang mengundang rasa seram sejuk ditambah dengan persekitarannya yang gelap. Berbanding perpustakaan, persekitarannya gelap tapi sentiasa ada orang lalu lalang di situ. Apa yang aku nak ceritakan adalah tentang bilik muzik yang berada di depan bilik makmal bahasa.
Selesai belajar, kami pun balik ke kelas masing-masing. Semasa dalam perjalanan pulang ke kelas, aku terhenti kerana terdengar suara yang pelik dari bilik muzik. Lama aku tenung bilik muzik tu sampai rakan kelasku memanggil aku dari jauh untuk balik ke kelas. Aku mengambil keputusan untuk melihat bilik tu waktu balik nanti. Setibanya waktu balik, macam biasa, aku balik lewat untuk pergi ke bilik muzik tu. Aku naik secara senyap-senyap dan setelah sampai di atas, keadaan di tingkat ni memang sunyi. Aku melihat bilik muzik dari luar tingkap, gitar yang berdiri teguh tiba-tiba terjatuh. Aku pun terkejut. Macam mana gitar tu boleh terjatuh? Tiba-tiba aku terdengar orang menjerit minta tolong tetapi suara dia garau sikit, “TOLONG AKU, TOLONG AKU, TOLONG AKU. Aku pun lari lah lintang-pukang ke bawah dan terus ke tempat bas (tingkatan 2 dah naik bas). Siapalah nak tolong kalau tingkat atas sekali tu memang sunyi.
Selepas cuti hari raya dah habis, kami sekolah seperti biasa. Aku cuma duduk diam di kelas sementara orang lain bercerita tentang hari raya di kampung. Bosan juga lah masa tu hanya mampu menconteng buku sahaja. Ketika waktu balik, aku tutup pintu kelas aku dan kelas yang lain. Dari kelas aku ke kelas sebelah dan kelas seterusnya, lebih kurang enam kelas pintunya aku tutup. Tetapi selepas tutup pintu kelas terakhir, pintu kelas aku terbuka semula sedangkan aku dah tutup rapat. Mustahil angin yang menyebabkan pintu kelas aku terbuka semula. Aku rasa pelik kemudian aku berlari ke kelas aku dan tutup semula pintu. Tiba-tiba aku ternampak seperti ada seorang lelaki berada di hujung koridor memandang aku dari jauh dan masuk ke kelas terakhir tadi. Aku pun pergi lah ke kelas tu. Tapi bila sudah sampai, tiada sesiapa pula di dalam kelas tu. Bulu roma aku mula meremang, memang aku nampak ada orang masuk ke kelas ini tadi, tapi bila tengok tiada orang pula. Aku pun tutup lah pintu tu dan terus balik.
Tinggal beberapa hari lagi nak masuk cuti hujung tahun, masa tu aku dengan beberapa pelajar lepak di kantin sementara menunggu pagar sekolah tiada orang, baru kami balik. Memandangkan sudah tiada orang cuma kami sahaja di kantin, kami pun balik. Ketika nak balik aku ada merasakan sesuatu seperti ada orang memerhatikan kami. Dalam keadaan tercari-cari, aku nampak ada seorang perempuan berambut tocang melihat kami dengan tajam di tingkat sekolah paling atas sekali. Aku pun panggil lah mereka sambil tunjuk perempuan itu. Mereka hairan dengan aku, mereka tidak nampak sesiapa pun di tingkat atas tu. Aku pun suruh cepat-cepat balik takut ada benda tidak diingini berlaku.
Kisah ini berlaku setiap kali aku balik lewat di sekolah. Kisah ini aku tak pernah cerita dengan sesiapa pun sehingga hari ini termasuk rakan sekelasku. Semasa tingkatan 3, aku cuma sekolah selama sebulan sahaja di sana kemudian aku pun pindah sekolah. Maaf sekiranya cerita aku ini tidak berapa seram dan maaf juga sekiranya penulisan aku tidak baik.
Kredit: Eez
Pantun Mayang Bertandang [Bahagian 1]

Dari mayang bertandang,
Dari akad sumpahnya mati,
Dari mana datang kau bayang,
Dari jasad ****** ** ****.
Mau kemana Sri Kunaning,
Mayang kau sumpah aku pasakkan,
Mana ke mana aku beriring,
Bayang *** ***** *** *******.
Jengkalmu lading asalnya benang,
Pekaka berantah atas buntingan,
Asalmu gading usulmu jenang
Derhakan ku ****** ***** ********.
Masih terngiang jelas pantun 3 rangkap itu dituturkan lewat telingaku oleh arwah nenda. Bunyinya begitu aneh dan seakan-akan satu seruan pada penghuni alam ghaib. Nama-nama yang disebut juga begitu janggal pada pendengaran ku. Siapa Sri Kunaning? Siapa pula Mayang?
Seminggu lalu nenda terlantar sakit. Badannya begitu kurus dengan kulit kusam berkedut seribu. Pucat. Seakan akan semua bendalir badannya disedut keluar. Anehnya wajah nenda tetap anggun dan berseri seperti perawan sedangkan dia sudah berusia 82 tahun.
Dalam keuzuran nenda itu, aku disuruh pulang segera ke tanah air. Mujur saja aku baru selesaikan ijazah ku dalam bidang perubatan di ireland.
“Pulang segera. Kau cucu sulung dari anak yang sulung. Kau harus ada menemaninya atau dia tidak akan pergi”.
Suara ibu kedengaran cemas dan ada nada sedih terselit disitu. Malam itu juga aku mengambil penerbangan pulang.
Sepanjang perjalanan aku teringatkan nenda. Sememangnya aku cucu yang paling akrab dan paling manja dengannya. Aku membesar dalam jagaannya. Orangnya lembut dan suka melagu pantun. Setiap malam bulan mengambang, dia akan duduk di anjung rumah sambil melagukan pantun dan menyisir rambutku. Dia juga gemar memetik pelbagai jenis bunga berwarna putih lalu dimasukan ke dalam buyung dan diembun semalaman. Kami tidak dibenarkan bercakap dan menegur sepanjang ritual itu dilakukan. Selepas itu, nenda akan tidurkan aku beralaskan kain putih sepanjang malam. Pada waktu itu bagiku tiada ada yang aneh tentang tingkahnya. Namun sekarang aku rasa ada yang tidak kena.
Aku terus ke kampung nenek sebaik tiba di tanah air lalu langsung dibawa mengadap nenek. Hati aku sebak melihat dia yang terbaring lesu tidak bermaya. Matanya terpejam rapat. Perlahan aku memanggil nenek.
“Nenda.. Intan datang, intan dah balik”
Reaksi nenda begitu mengejutkan kami yang berada di situ. Dia bingkas bangun dengan bertenaga sambil merenung aku lama dan tersenyum lembut.
“Sirih pulang ke gagang akhirnya, teman kan nenda disini.”
Dia berkata perlahan lalu mengenggam tanganku. Serentak itu, seluruh kamar nenek berbau harum bunga sedap malam yang entah dari mana datangnya..
“Waris kulo sudah kembali. Mayang sudah kembali, Sri Kunaning tidak akan sunyi”
Nenda menyambung kembali.. Aku berpandangan dengan ibu meminta penjelasan. Tetapi ibu hanya memandangku sayu.
“Masanya dah tiba Intan, sudah tidak lama”.
Aku bertambah bingung.
Malam itu sekali lagi aku dipakaikan dengan pakaian serba putih dan diminta mendampingi nenda. Seluruh kaum lelaki diminta meninggalkan rumah dan bermalam di baruh. Aku memasuki kamar nenda. Kelihatan dia sudah mampu duduk bersimpuh dan seperti biasa kelihatan anggun dengan kebaya serba putih. Rambutnya disanggul kemas. Dupa berisi kemenyan di sebelah kanan dan buyung berisi bunga di sebelah kiri. Aku duduk dihadapannya.
“Dengarlah Mayang, sudah sampai masanya kau menjadi Mayang keluarga kita mewarisi Sri Kunaning warisan keluarga. Aku, Engku Tanjung Piah melepaskannya tunjang ini padamu dari leluhur sebelah menyebelah kita.
Dengarlah pantun ini aku lafazkan dan ingatlah ia wahai Mayang ku. Jagalah ia seperti kau menjaga nyawa dan jasadmu. Gunakan dia untuk melindungi warisan kita.”
Lalu pantun aneh itu nenda lafazkan dengan berlagu merdu. Suasana kamar terasa begitu dingin serta menakutkan harumnya. Aku dapat rasakan hadirnya puluhan makhluk yang tidak kasat mata di situ seolah turut serta menyaksikan ritul tersebut. Sebaik saja nenda menghabiskan pantun berlagu itu, jendela terbuka diterjah angin kuat disambut bunyi seakan gamelan dan suara orang bersorak-sorai.
Tiba-tiba kelihatan sesusuk tubuh perempuan yang sangat cantik berkemban seakan busana puteri dari keraton tanah Jawa berdiri di belakang nenda.
“Masa kau sudah tiba Engku Tanjung Piah. Dia Mayangku yang baru. Urusan kita sampai di sini. Engkau aku lepaskan.”
Perempuan cantik itu bersuara perlahan
“Jagalah Mayang ini dengan baik. Sesuai dengan janji mu duhai Kunaning. Tunjangkan warisanku. Sudah sampai janji ku pada pencipta ku dan juga penciptamu. Iya urusan kita sampai di sini.”
Nenda membalas kata-kata perempuan itu. Sejurus itu nenda merenungku sayu dan perlahan-lahan menutup mata.
Bersambung…
Test 2
Kredit: Long Tuan
Roh mencari jalan pulang

This Content Is Only For Subscribers
Selepas seminggu berpindah di kawasan pedalaman sebuah kampung yang terletak di Kuala Lipis, Azman yang bertugas sebagai Pegawai Jabatan Perhilitan sudah mula berasa keseorangan. Buat sementara waktu, isteri dan anak-anaknya masih tinggal di ibu kota memandangkan urusan untuk berpindah sekolah mengambil masa yang agak panjang. Di situ Azman tinggal di sebuah rumah sewa dan kebanyakan jirannya adalah rakan-rakan sekerjanya.
Setiap hari, rutinnya dia akan tiba di rumah sebelum maghrib. Memandangkan dia tinggal bujang, kadangkala lupa stok makanan tidak banyak. Satu hari, jam menunjukkan tepat 9 malam dan perut Azman mula berkeroncong. Dia mula mencari makanan di almari dapur namun yang ada cuma beberapa keping biskut kering.
Azman merancang untuk ke pekan berhampiran, terus dicapai kunci kereta di atas rak almari kasut. Ketika sedang memandu, di sebuah kawasan hutan, tiba-tiba muncul seorang lelaki tua yang sedang berjalan kaki, Azman berhenti dan mengajak lelaki itu menaiki keretannya. Namun lelaki itu enggan dan selesa berjalan kaki sahaja.
Tibanya di Pekan, Azman terus membeli barangan keperluan di sebuah kedai runcit. Dia juga memesan burger untuk makan di rumah nanti. Ketika sedang duduk menanti burger siap, Azman melihat lelaki tua yang diajak naik keretanya tadi, sedang berjalan kaki menuju ke kedai runcit. Ditanya pemuda yang sedang memasak burger, siapakah orang tua itu, pemuda itu hanya menggelengkan kepala. Ketika memandu pulang, orang tua itu sentiasa berlegar-legar di minda Azman. Dia berasa pelik, kerana orang tua itu begitu cepat sampai sedangkan jarak dari hutan ke Pekan agak jauh. Tibanya di rumah, Azman terus menikmati burger bersama milo panas sambil melayan telefon pintarnya.
Tiba-tiba, kedengaran pintu rumahnya diketuk. Lantas Azman bangun membuka pintu, namun dia begitu hairan kerana tiada sesiapa di luar. Begitu juga ketika hendak melelapkan mata, Azman mendengar lagi ketukan dari luar, namun tidak diendahkan. Keesokan paginya Azman keluar bekerja seperti biasa, jalan yang dilalui pada pagi itu kelihatan sesak dengan ambulans dan kereta polis. Dia bertanya kepada orang ramai yang berada di situ, mereka memberitahu ada seorang lelaki tua mati dilanggar dan mayatnya tercampak di lereng bukit.
Mangsa Langgar Lari
Berderau darah Azman apabila mendengar berita tersebut. Dia syak pasti pakcik yang dijumpai semalam menjadi mangsa langgar lari. Ketika pulang dari kerja, dia melihat sekujur mayat di tepi jalan yang masih belum dibawa naik ke dalam kenderaan polis. Tibanya di rumah, dia duduk termenung sambil mengimbas kembali tentang pakcik tua itu.
Tiba-tiba orang tua yang sentiasa bermain di mindanya, berada tepat di hadapannya. Azman sempat bertanya kepada pakcik tersebut, benarkah dia yang menjadi mangsa langgar lari itu. Namun pakcik itu cuma menggelengkan kepala. Kemudian orang tua itu cuma, berkata, “mana anak aku?” Tiba-tiba Azman terjaga apabila mendengar alunan azan Maghrib, rupa-rupanya dia bermimpi. Selepas selesai solat, Azman ke rumah rakan sekerjanya yang tinggal selang beberapa rumah dari rumah sewanya. Dia bercerita tentang pakcik tua misteri yang dijumpai dan kisah lelaki tua yang menjadi mangsa langgar lari. Rakannya, menjelaskan peristiwa yang sama dialami rakannya itu ketika mula-mula berpindah ke kawasan itu.
“Aku pun alami perkara yang sama, pakcik itu sebenarnya sudah lama meninggal namun mengikut kisah orang kampung ini, rohnya tidak aman. Dia dibunuh oleh anaknya sendiri yang menjadi penagih dadah. Pada waktu itu anaknya meminta wang namun dia tidak mahu berikan. Pergelutan berlaku dan akhirnya anak pakcik itu telah menikam ayahnya sehingga mati. Kini, rumah pakcik itu kosong tidak berpenghuni. Rumah pakcik itu terletak di dalam hutan jalan hendak ke pekan dan kini rumah itu kosong tiada penghuni. Sebab itu kenderaan yang lalu di kawasan itu pasti akan diganggu roh pakcik tua itu,” rungkai rakan Azman. Manakala pakcik tua yang menjadi mangsa langgar lari semalam pula dilanggar ketika dia sedang mengayuh basikal menuju ke pekan.