Kat kampung aku, tandas kami terpisah dari rumah. Kalau nak kencing, kami kena keluar rumah lalu bangsal tempat letak kereta, baru jumpa dengan tandas. Selalunya pun tak ada kereta park kat bangsal tu, sebab depan rumah ada laman besar. Semua kereta park di situ je.
Semasa kecil kalau kami nak ke tandas, kami tak akan pergi seorang diri. Mesti bertiga. Dua tunggu luar, seorang dalam tandas. Ini berlaku hampir 20 tahun dahulu. Umur aku baru 13 tahun.
Tahun 2001. Kejadian World Trade Center belum berlaku lagi. Iphone pun tak wujud lagi. Kami balik kampung untuk perkahwinan maksu aku. Kami ramai-ramai akan tidur di ruang tamu.
Malam itu rasanya jam 2.30 pagi, aku terjaga dari tidur. Perut rasa tak sedap, nak buang air besar. Pada mulanya aku cuba tahan, korang pernah ayat ni- simpul simpul baju, tersimpul t*ik aku. Konon bila sebut, kau akan batalkan niat buang air besar. Selalunya jadi, tapi kali ni, dia tak nak simpul. Mungkin sebab aku malam semalam aku makan tak ingat dunia.
Aku cuba la kejut saudara aku, sorang pun tak nak bangun. Semua berlakon tidur mati. Oleh tak boleh tahan aku keluar rumah sorang-sorang. Lintas bangsal selaju yang mampu dan masuk dalam tandas. Nasib sempat.
Aku duduk dalam tandas tu tanpa sesiapa nak borak atau benda nak baca. Hanya di temankan bunyi cengkerik dan cicak berjalan atas dinding.
Lupa nak beritahu, kalau tandas kampung selalunya ada lubang-lubang kat dinding, tandas kampung aku tak ada beza.
Sementara buang air besar, aku hanya fokus kat pintu sahaja, tetapi ada seekor cicak yang lalu buat aku terpandang atas kat lubang-lubang. Terkejutnya aku apabila di sebalik lubang itu aku ternampak seorang bermuka budak sedang memerhatikan aku. Mukanya pucat dan
Akui matanya hitam penuh. Sebaik aku tengok mukanya, dia menyorok.
Meremang bulu aku. Aku terperangkap. Aku belum selesai lagi buang air besar tapi rasa macam nak lari je masuk rumah tanpa basuh.
Tiba-tiba aku dengar ada orang ketuk pintu tandas. Dalam otak aku berfikir, alahai, ia main-main takutkan aku pulak. Sekali lagi aku dengar ketukkan pintu dari luar. Kali ini lagi kuat. “Siapa tu?” aku tanya beranikan diri. Ketukkan tu berhenti.
Akhirnya aku dah selesai buang air besar. Aku cepat-cepat bersihkan diri dan pakai seluar. Dalam otak aku, ‘ok Shukri. Kau buka pintu dan terus lari masuk rumah. Tak kisah la apa terjadi, kau kena terus lari masuk rumah.’
Baru je nak buka, aku terhenti ketakutan. ‘Kau bole Shkri. Kau boleh.’
Tiba-tiba ada sesuatu benda besar jatuh ke atas bumbung tandas. Bunyinya memang kuat. Apa lagi, itu que aku untuk lari. Aku buka pintu dan terus berlari.
Tak sangka budak tu sedang menunggu aku di tengah-tengah bangsal. Aku terduduk. Dia memerhatikan aku.
Budak itu berjalan menuju aku. Aku terkaku. Sebelum sempat dia sampai kat aku, pakcik aku berjalan menghala ke tandas. Budak itu tiba-tiba hilang.
“Kau buat apa terduduk bawah tu?” tanya pakcik aku.
“Saya nampak hantu.” aku jawab.
Dia keluarkan bunyi sinis sambil lalu sebelah aku. “Nak saya teman?” aku tanya.
“Tak pe. Budak tu takut dengan aku.” jawab pakcik aku dengan slumber.
“Siapa dia pakcik?” aku tanya.
“Adik aku. Dia meninggal kat depan sungai tu.” sambil tutup pintu tandas.
Aku masuk rumah dan terus baring. Aku berfikir tentang apa terjadi. Aku dengar tentang kematian salah seorang adik beradik ayah aku, tak sangka lah dia meninggal dekat rumah. Pakcik aku pulak macam dah biasa. Aku punya takut, dia slumber je.
Saudara aku terjaga. Dia nampak aku tak tidur. “Wei. Teman aku pergi tandas.”
Aku pusing kan kepala dan buat tak tahu.
Ini berlaku 10 tahun dahulu. Syam dan isterinya, Ira, tinggal di kampung. Semasa itu Ira berbadan dua. Sudah 7 bulan dia mengandung.
Kejadian ini berlaku semasa perjalanan mereka pulang dari rumah saudara. Rumah kami tak jauh. Dalam 10 minit kalau berjalan kaki. Syam ada motor. Malangnya malam itu motor Syam buat hal. Sebenarnya tak cadang pun lepak lama tapi sebab syok bercerita, mereka lupa jam dah hampir pukul 11 malam. Saudara Syam menawarkan diri untuk hantar tapi mereka tolak. Katanya bukan jauh sangat rumah.
Dalam perjalanan ke rumah, Ira menegur, “Bang, kat belakang tu ada cahaya”. Saya tanya cahaya apa. Ira terangkan bahawa sejak masuk jalan besar tadi, ada cahaya putih mengikuti mereka. Lalu Syam pusing kepala. Memang ada. Cahaya itu sedang bertebangan di atas sebuah pohon. Ira semakin takut. Dia dah lah mengandung. Takut ada apa-apa terjadi dengan bayi dalam perut. Syam beritahu isterinya untuk tunggu di sini. Ira tak mahu. Syam suruh Ira percaya dia. Ira pun ikut arahan.
Kata orang kalau nak lihat benda-benda ghaib, kita mesti berjalan tiga langkah, lalu pusing dan kangkang kaki. Selepas itu bongkokkan badan dan lihat dari celah kaki. Lalu, Syam melangkah… Satu…. Dua… Tiga… kemudian dia pusing dan kangkang kakinya. Dia bongkok dan melihat cahaya itu dari celah kaki. Terkejut dia apabila dapat tahu bahawa cahaya itu sebenarnya hantu penanggal. Dengan lidah yang panjang, hampir terkena bumi, matanya terbeliak, Ususnya tergantung dekat atas pohon sambil pandang tajam ke arah Ira.
Syam dengan perlahan-lahan menuju ke Ira, peluk dia dan memaksa Ira untuk berlari. Sambil lari baca ayat kursi. Ira mula panik. Syam cuba tenangkan Ira. Syam mengingatkan Ira untuk baca ayat kursi.
Kedua-dua mereka lari. Sambil lari sambil baca ayat kursi. Syam kesian dengan isterinya tapi dia terpaksa lari. Akhirnya mereka sampai ke rumah. Syam menoleh ke kiri ke kanan, cahaya itu dah hilang. Alhamdulillah, syukur. Syam lihat isterinya. Dia bawa isterinya masuk ke rumah dan berikan dia air kosong. Syam menelefon ustaz untuk bantu kuatkan semangat isterinya. Tak lama kemudian ustaz pun sampai. Dia beri air tangkal kepada Syam dan Ira.
Dua bulan kemudian, Ira melahirkan cahaya mata pertama mereka. Seorang budak lelaki. Syam tidak dapat menahan kegembiraannya. Dia menangis melihat anaknya itu. Syam sudah bergelar ayah.
Jalan Bentong Gua Musang sering menjadi laluan utama orang Kelantan pulang ke kampung halaman dari Kuala Lumpur. Biasanya perjalanan mengambil masa 6-7 jam, namun ketika musim perayaan ia boleh memakan masa sehingga 12-13 jam. Bagi kami orang Kelantan, kesesakan jalan ini sudah menjadi tradisi setiap kali pulang ke kampung.Ketika menjelang perayaan Deepavali, walaupun bukan majoriti diraikan oleh orang Kelantan, ramai juga mengambil kesempatan untuk pulang. Aku membuat keputusan untuk balik dua hari awal dan pada waktu malam. Kiraan aku tepat, waktu itu kereta masih minima di highway.
Perjalanan Malam di Jalan Bentong Gua Musang
Aku bertolak dari Kuala Lumpur pada pukul 11.30 malam bersama isteri dan dua anak aku. Saya memandu kereta Proton Gen 2, dan cuaca malam itu baik tanpa kabus atau hujan. Tak lama kemudian, anak-anak aku mula tidur lena di kerusi belakang.
Namun, apabila memasuki kawasan Bentong, suasana mula berubah. Jalan menjadi sunyi. Isteri aku juga tertidur, meninggalkan aku seorang diri melawan rasa mengantuk. Lengang terlalu lama. Tidak ada kereta selama lebih 15 minit. Hanya lori-lori besar yang berhenti di tepi jalan menemani perjalanan aku. Hati mula rasa menyesal kerana memilih untuk pulang waktu malam.
Rehat Sebentar di Gua Musang
Akhirnya aku sampai ke Gua Musang dan berhenti di RnR untuk merehatkan badan. Isteri terjaga dan ke tandas, sementara aku menjaga anak-anak. Setelah itu, kami kembali meneruskan perjalanan. Namun suasana semakin mencabar.
Kabus Tebal di Felda Paloh
Di kawasan Felda Paloh, bulu roma aku tiba-tiba meremang. Jalan yang lurus naik turun bukit kini diselubungi kabus tebal, memaksa aku memandu perlahan. Ketika itu aku mula terasa kereta seperti berat. Aku menoleh ke cermin pandang belakang dan terlihat kaki terjuntai melayang-layang di bonet kereta. Jelas kelihatan kaki itu terhoyong-hayang, membuatkan aku benar-benar terkejut.
Aku terus memasang CD bacaan Al-Quran dan membacanya dengan suara perlahan. Mulut tidak berhenti berzikir, berharap gangguan itu segera hilang. Namun, kelibat itu muncul kembali. Kali ini di tepi jalan raya. Sosok berkain putih dengan mata merah memandang tajam ke arah aku. Jantung berdegup kencang, tangan mula berpeluh.
Detik Cemas di Jalan Bentong Gua Musang
Aku hilang kawalan emosi. Aku tekan minyak dan memecut walaupun kabus menebal. Isteri aku terjaga dan memarahi aku kerana memecut laju. Jika sahaja dia tahu apa yang aku nampak sebentar tadi. Sepanjang jalan, aku hanya mampu berdoa agar selamat sampai ke kampung halaman.
Alhamdulillah, akhirnya aku tiba di rumah jam 6 pagi dengan selamat. Namun, itulah kali terakhir aku memandu waktu malam melalui jalan Bentong Gua Musang. Pengalaman seram itu benar-benar meninggalkan kesan yang tidak akan aku lupakan.
Bukan mudah untuk Haikal melupakan perkara yang menimpa mereka empat beranak enam bulan lalu.
Pada awalnya Haikal sekeluarga tidak berniat untuk mengikut keluarga mentuanya bercuti di sebuah pulau di pantai Timur atas desakan kerja di pejabat yang menggunung. Memohon cuti panjang memang agak payah di kala projek klien sedang menimbun tetapi di saat akhir, setelah puas dipujuk isterinya, Nadia, dia mengambil keputusan untuk mengikut percutian yang telah dirancang.
Perkara menjadi sukar apabila Haikal dan isterinya tidak turut serta menempah bilik hotel dari awal dan mereka berdua mencari bilik hotel lain yang berdekatan semata-mata untuk bercuti bersama keluarga isterinya itu.
Pencarian mereka tidak berhasil sehinggalah mereka tiba di lokasi percutian, namun dengan bantuan kenalan lama Haikal, dapatlah mereka sebuah bilik kecil untuk mereka menginap dua malam bagi menghilangkan lelah. Biar pun pada mulanya pihak hotel menyatakan kesemua bilik penuh dihuni tetapi di saat akhir disebabkan rasa kasihan pada Haikal yang memujuk rayu, akhirnya mereka akur memberi sebuah bilik kepada Haikal.
Biarlah kurang selesa tetapi dekat dengan keluarga mertuanya yang tinggal di hotel yang kurang lima kilometer dari hotel mereka. Selesai urusan check in, Haikal mengangkat semua barangan di dalam bonet kereta. Maklumlah anak-anaknya masih kecil banyaklah barang perlu diangkut.
Nadia dan anak-anak disuruh Haikal berada di lobi hotel, sementara dirinya mengangkat barang satu-persatu. Kala itu anaknya Syauqi dan Maisarah terlena melentuk di atas sofa lobi, barangkali letih perjalanan daripada Kuala Lumpur. Selepas mengangkut barangan, naiklah empat beranak ini ke dalam bilik hotel.
Masuk sahaja ke dalam bilik, Syauqi terus terbeliak matanya sambil menuding jari pada satu sudut. Terdapat sofa usang di situ, antik dan unik. Mungkin perkara itu menarik perhatiannya. Tak lama kemudian, Maisarah yang baru berusia enam bulan, menangis sekuat hati secara tiba-tiba.
Nadia yang melihat keadaan Maisarah jadi cemas, baru sahaja beberapa minit melangkah ke dalam bilik, pelbagai perkara sudah berlaku. Sepantas kilat Nadia menguatkan suhu penghawa dingin kerana terasa badan Maisarah terlalu panas.
Namun anaknya tetap terus-terusan menangis. Nadia fikir mungkin Maisarah ingin mandi, jadinya dia meminta bantuan Haikal untuk memandikan anaknya dan Nadia menyiapkan susu serta tempat tidur yang selesa untuk Maisarah lelapkan mata.
Setelah dimandikan keadaan Maisarah tetap sama, dia juga enggan minum susu. Keadaan menjadi semakin kelam-kabut apabila Syauqi yang dari tadi diam mula menangis seolah-olah nampak hantu. Masih sama seperti tadi, Syauqi menuding jari ke arah sofa lama. Haikal mula terasa tidak sedap hati. Pantas tangannya mencari telefon bimbit untuk memperdengarkan ayat suci Al-Quran. Telefon bimbitnya pula mati akibat kehabisan bateri.
Tanpa membuang masa, Haikal cuba melaungkan azan di segenap penjuru bilik. Bilik menjadi tenang seketika, anak-anaknya mula melelapkan mata dan menyusu. Rupanya itu bukanlah penghujung cerita. Selang sejam kemudian, anak-anaknya mula menangis lagi. Hati Haikal mula panas dan terus dia bersuara meminta isterinya berkemas untuk keluar dari hotel.
Dalam keadaan celaru, Nadia angkut segalanya dan masukkan ke dalam beg tanpa berfikir panjang. Setelah berkemas, mereka laju turun. Sebelum menutup pintu terdengar suara mengilai dari dalam bilik. Tanpa menoleh mereka terus berlari ke lobi. Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk menumpang di bilik hotel ibu mentuanya. Biar pun kurang selesa dan bersempit daripada anaknya menangis sepanjang malam.
Keesokan harinya setelah ditanya pada penduduk setempat, rupa-rupanya bilik yang disewa Haikal sekeluarga memang berhantu dan setiap kali musim cuti persekolahan pasti sahaja ada penginap yang diganggu. Sejak itu Haikal berjanji, sekiranya bilik hotel penuh, dia lebih rela membatalkan percutian daripada membiarkan keselamatan anaknya terganggu.
Mujurlah setelah kejadian anak-anaknya semakin pulih apabila berjumpa dengan seorang ustaz. Menurut ustaz tersebut, makhluk itu memang gemar mengganggu anak-anak kecil. Sebagai ibu dan bapa, sebelum memasuki sebuah rumah atau hotel, lebih baik dibacakan ayat suci Al-Quran atau dilaungkan azan sebagai langkah berjaga-jaga.