Aku ingin menceritakan kisah yang berlaku kepada diri aku ketika di tingkatan 1 & 2 (2016-2017). Kisah ini berlaku dekat sekolah lama aku di Sabah. Masa tu aku sekolah di sesi petang. Aku seorang yang pendiam masa tu. Sepanjang aku di tingkatan 1 & 2, aku adalah jenis yang suka balik lewat. Semasa orang lain dah balik, aku masih berada di sekolah kerana masih ramai pelajar berada di pintu pagar sekolah. Jadi, aku balik lewat sehingga sekolah betul-betul sunyi. (kisah ini hanya berlaku di sekolah pada waktu senja).
Tingkatan 1
Kejadian ini berlaku apabila waktu balik, aku pergi ke kantin untuk duduk sementara menunggu pelajar lain balik. Masa tu kantin sudah sunyi hanya ditemani angin yang dingin. Di sebalik angin yang dingin, aku terdengar pili paip sinki di tandas lelaki terbuka. Pada awalnya aku tidak hiraukan, mungkin ada orang sedang mencuci tangan. Tiga minit kemudian, pili paip masih lagi kedengaran. Aku masa tu fikir ada orang tengah bazirkan air. Aku pun pergi ke tandas untuk memastikan apa yang berlaku tetapi tiada sesiapa di dalam tandas. Aku mula rasa tidak sedap hati ditambahkan pula rasa seram sejuk. Dengan tidak melengahkan masa, aku tutup pili paip, ambil beg dan keluar dari sekolah. Semasa keluar dari sekolah, pakcik pengawal keselamatan dari tadi memandang aku dengan wajah yang pelik. Kenapa dia pandang aku macam tu, aku tak nak ambil tahu. Aku cuma tak nak tertinggal van. Aku berlari ke tempat menunggu van yang hantar aku balik ke rumah. Apa yang berlaku tadi, aku sendiri tidak pasti. Pili paip terbuka sendiri, tapi tiada seorang pun di dalam tu.j
Tempat menunggu van tu lebih kurang 1 kilometer setengah dari sekolah. Ketika lalu dekat tempat orang bermain bola, aku nampak ada seorang pakcik dengan beberapa orang remaja sedang lepak di pondok. Tetapi yang peliknya, pakcik tu tak dilayan seolah-olah mereka tidak nampak kewujudan pakcik itu. Tanpa berfikir panjang, aku pun meneruskan perjalanan dalam keadaan berpeluh menuju tempat menunggu van. Maklumlah, berlari tadi. Setibanya di tempat tersebut, van hampir meninggalkan aku. Nasib baik sempat masuk. Kalau kena tinggal, tentu kena marah dengan ibu bapa dekat rumah.
Beberapa hari kemudian, aku masih dengan tabiat aku iaitu tunggu di sekolah sementara menunggu pelajar lain dah balik. Semasa melihat pemandangan di koridor bilik KHB (Kemahiran Hidup Bersepadu), aku terdengar ada orang sedang bercakap-cakap di tingkat dua. Suara mereka jelas didengari. Aku pun melihat ke atas untuk memastikan siapa yang sedang berbual. Tetapi tiada siapa pun yang berada di tingkat dua. Kosong pula tingkat tu. Aku pun ambil keputusan untuk keluar dari sekolah. Masa nak keluar dari sekolah, tiba-tiba terdengar bunyi orang berlari berkejaran. Aku pun jerit lah, “siapa tu”. Tiada siapa pun yang menyahut. Tiba-tiba ada hentakan kaki di koridor atas, aku pun lari meninggalkan tempat tu. Setibanya di tempat menunggu van, aku bernasib baik van belum datang.
Dua bulan tiada benda pelik berlaku sehingga bulan oktober. Mata pelajaran Bahasa Melayu, cikgu membawa kami ke perpustakaan. Laluan di luar perpustakaan memang gelap sebab perpustakaan berada di depan bilik guru 3. Sepanjang berada di perpustakaan, aku hanya membaca buku dan bosan. Sedang khusyuk membaca buku, aku ternampak ada kelibat di luar perpustakaan. Aku cuba meneliti. Kelihatan seorang lelaki dengan baju berlumuran darah. Perasaan takut terus menyelubungi, meremang, memang seram kalau lihat lelaki tu. Aku tutup muka dengan buku. Bila tengok balik, ‘benda’ tu sudah tiada. Kawan aku yang duduk di sebelah melihat aku dengan kehairanan, dia tanya kenapa dengan aku. Aku hanya memberitahu yang aku terkejut mimpi jatuh dari bangunan. Kalau aku beritahu dia tentang apa yang aku nampak tadi, sudah tentu dia tidak percaya.
Peperiksaan akhir tahun pun sudah berakhir, maka ramailah dekat kelas aku yang berbual tentang cuti hujung tahun. Ada yang balik kampung, ada yang bercuti ke tempat menarik, ada yang duduk rumah sahaja. Aku cuma duduk diam di tepi tingkap sambil memandang kelas lain. Aku nampak kelas di tingkat atas pintunya sekali terbuka dan tertutup. Aku perhati pintu itu untuk memastikan adakah disebabkan angin. Sah, memang pintu tu buka tutup sendiri. Aku pun buat-buat tidur sementara menunggu waktu balik. Selepas kes tu, maka cuti hujung tahun pun tiba. Aku tidak mahu memikirkan perkara itu sepanjang aku bercuti di kampung.
Tingkatan 2
Kisah ni berlaku pada pertengahan tahun. Cikgu membawa kami ke makmal bahasa untuk belajar. Mungkin belajar di makmal bahasa lebih seronok sebab tu cikgu bawa kami untuk belajar di situ. Ianya terletak di tingkat paling atas sekali. Dekat situ juga sangat sunyi jika dibandingkan dengan tingkat yang lain. Memang mengundang rasa seram sejuk ditambah dengan persekitarannya yang gelap. Berbanding perpustakaan, persekitarannya gelap tapi sentiasa ada orang lalu lalang di situ. Apa yang aku nak ceritakan adalah tentang bilik muzik yang berada di depan bilik makmal bahasa.
Selesai belajar, kami pun balik ke kelas masing-masing. Semasa dalam perjalanan pulang ke kelas, aku terhenti kerana terdengar suara yang pelik dari bilik muzik. Lama aku tenung bilik muzik tu sampai rakan kelasku memanggil aku dari jauh untuk balik ke kelas. Aku mengambil keputusan untuk melihat bilik tu waktu balik nanti. Setibanya waktu balik, macam biasa, aku balik lewat untuk pergi ke bilik muzik tu. Aku naik secara senyap-senyap dan setelah sampai di atas, keadaan di tingkat ni memang sunyi. Aku melihat bilik muzik dari luar tingkap, gitar yang berdiri teguh tiba-tiba terjatuh. Aku pun terkejut. Macam mana gitar tu boleh terjatuh? Tiba-tiba aku terdengar orang menjerit minta tolong tetapi suara dia garau sikit, “TOLONG AKU, TOLONG AKU, TOLONG AKU. Aku pun lari lah lintang-pukang ke bawah dan terus ke tempat bas (tingkatan 2 dah naik bas). Siapalah nak tolong kalau tingkat atas sekali tu memang sunyi.
Selepas cuti hari raya dah habis, kami sekolah seperti biasa. Aku cuma duduk diam di kelas sementara orang lain bercerita tentang hari raya di kampung. Bosan juga lah masa tu hanya mampu menconteng buku sahaja. Ketika waktu balik, aku tutup pintu kelas aku dan kelas yang lain. Dari kelas aku ke kelas sebelah dan kelas seterusnya, lebih kurang enam kelas pintunya aku tutup. Tetapi selepas tutup pintu kelas terakhir, pintu kelas aku terbuka semula sedangkan aku dah tutup rapat. Mustahil angin yang menyebabkan pintu kelas aku terbuka semula. Aku rasa pelik kemudian aku berlari ke kelas aku dan tutup semula pintu. Tiba-tiba aku ternampak seperti ada seorang lelaki berada di hujung koridor memandang aku dari jauh dan masuk ke kelas terakhir tadi. Aku pun pergi lah ke kelas tu. Tapi bila sudah sampai, tiada sesiapa pula di dalam kelas tu. Bulu roma aku mula meremang, memang aku nampak ada orang masuk ke kelas ini tadi, tapi bila tengok tiada orang pula. Aku pun tutup lah pintu tu dan terus balik.
Tinggal beberapa hari lagi nak masuk cuti hujung tahun, masa tu aku dengan beberapa pelajar lepak di kantin sementara menunggu pagar sekolah tiada orang, baru kami balik. Memandangkan sudah tiada orang cuma kami sahaja di kantin, kami pun balik. Ketika nak balik aku ada merasakan sesuatu seperti ada orang memerhatikan kami. Dalam keadaan tercari-cari, aku nampak ada seorang perempuan berambut tocang melihat kami dengan tajam di tingkat sekolah paling atas sekali. Aku pun panggil lah mereka sambil tunjuk perempuan itu. Mereka hairan dengan aku, mereka tidak nampak sesiapa pun di tingkat atas tu. Aku pun suruh cepat-cepat balik takut ada benda tidak diingini berlaku.
Kisah ini berlaku setiap kali aku balik lewat di sekolah. Kisah ini aku tak pernah cerita dengan sesiapa pun sehingga hari ini termasuk rakan sekelasku. Semasa tingkatan 3, aku cuma sekolah selama sebulan sahaja di sana kemudian aku pun pindah sekolah. Maaf sekiranya cerita aku ini tidak berapa seram dan maaf juga sekiranya penulisan aku tidak baik.
Kredit: Eez
Dari mayang bertandang,
Dari akad sumpahnya mati,
Dari mana datang kau bayang,
Dari jasad ****** ** ****.
Mau kemana Sri Kunaning,
Mayang kau sumpah aku pasakkan,
Mana ke mana aku beriring,
Bayang *** ***** *** *******.
Jengkalmu lading asalnya benang,
Pekaka berantah atas buntingan,
Asalmu gading usulmu jenang
Derhakan ku ****** ***** ********.
Masih terngiang jelas pantun 3 rangkap itu dituturkan lewat telingaku oleh arwah nenda. Bunyinya begitu aneh dan seakan-akan satu seruan pada penghuni alam ghaib. Nama-nama yang disebut juga begitu janggal pada pendengaran ku. Siapa Sri Kunaning? Siapa pula Mayang?
Seminggu lalu nenda terlantar sakit. Badannya begitu kurus dengan kulit kusam berkedut seribu. Pucat. Seakan akan semua bendalir badannya disedut keluar. Anehnya wajah nenda tetap anggun dan berseri seperti perawan sedangkan dia sudah berusia 82 tahun.
Dalam keuzuran nenda itu, aku disuruh pulang segera ke tanah air. Mujur saja aku baru selesaikan ijazah ku dalam bidang perubatan di ireland.
“Pulang segera. Kau cucu sulung dari anak yang sulung. Kau harus ada menemaninya atau dia tidak akan pergi”.
Suara ibu kedengaran cemas dan ada nada sedih terselit disitu. Malam itu juga aku mengambil penerbangan pulang.
Sepanjang perjalanan aku teringatkan nenda. Sememangnya aku cucu yang paling akrab dan paling manja dengannya. Aku membesar dalam jagaannya. Orangnya lembut dan suka melagu pantun. Setiap malam bulan mengambang, dia akan duduk di anjung rumah sambil melagukan pantun dan menyisir rambutku. Dia juga gemar memetik pelbagai jenis bunga berwarna putih lalu dimasukan ke dalam buyung dan diembun semalaman. Kami tidak dibenarkan bercakap dan menegur sepanjang ritual itu dilakukan. Selepas itu, nenda akan tidurkan aku beralaskan kain putih sepanjang malam. Pada waktu itu bagiku tiada ada yang aneh tentang tingkahnya. Namun sekarang aku rasa ada yang tidak kena.
Aku terus ke kampung nenek sebaik tiba di tanah air lalu langsung dibawa mengadap nenek. Hati aku sebak melihat dia yang terbaring lesu tidak bermaya. Matanya terpejam rapat. Perlahan aku memanggil nenek.
“Nenda.. Intan datang, intan dah balik”
Reaksi nenda begitu mengejutkan kami yang berada di situ. Dia bingkas bangun dengan bertenaga sambil merenung aku lama dan tersenyum lembut.
“Sirih pulang ke gagang akhirnya, teman kan nenda disini.”
Dia berkata perlahan lalu mengenggam tanganku. Serentak itu, seluruh kamar nenek berbau harum bunga sedap malam yang entah dari mana datangnya..
“Waris kulo sudah kembali. Mayang sudah kembali, Sri Kunaning tidak akan sunyi”
Nenda menyambung kembali.. Aku berpandangan dengan ibu meminta penjelasan. Tetapi ibu hanya memandangku sayu.
“Masanya dah tiba Intan, sudah tidak lama”.
Aku bertambah bingung.
Malam itu sekali lagi aku dipakaikan dengan pakaian serba putih dan diminta mendampingi nenda. Seluruh kaum lelaki diminta meninggalkan rumah dan bermalam di baruh. Aku memasuki kamar nenda. Kelihatan dia sudah mampu duduk bersimpuh dan seperti biasa kelihatan anggun dengan kebaya serba putih. Rambutnya disanggul kemas. Dupa berisi kemenyan di sebelah kanan dan buyung berisi bunga di sebelah kiri. Aku duduk dihadapannya.
“Dengarlah Mayang, sudah sampai masanya kau menjadi Mayang keluarga kita mewarisi Sri Kunaning warisan keluarga. Aku, Engku Tanjung Piah melepaskannya tunjang ini padamu dari leluhur sebelah menyebelah kita.
Dengarlah pantun ini aku lafazkan dan ingatlah ia wahai Mayang ku. Jagalah ia seperti kau menjaga nyawa dan jasadmu. Gunakan dia untuk melindungi warisan kita.”
Lalu pantun aneh itu nenda lafazkan dengan berlagu merdu. Suasana kamar terasa begitu dingin serta menakutkan harumnya. Aku dapat rasakan hadirnya puluhan makhluk yang tidak kasat mata di situ seolah turut serta menyaksikan ritul tersebut. Sebaik saja nenda menghabiskan pantun berlagu itu, jendela terbuka diterjah angin kuat disambut bunyi seakan gamelan dan suara orang bersorak-sorai.
Tiba-tiba kelihatan sesusuk tubuh perempuan yang sangat cantik berkemban seakan busana puteri dari keraton tanah Jawa berdiri di belakang nenda.
“Masa kau sudah tiba Engku Tanjung Piah. Dia Mayangku yang baru. Urusan kita sampai di sini. Engkau aku lepaskan.”
Perempuan cantik itu bersuara perlahan
“Jagalah Mayang ini dengan baik. Sesuai dengan janji mu duhai Kunaning. Tunjangkan warisanku. Sudah sampai janji ku pada pencipta ku dan juga penciptamu. Iya urusan kita sampai di sini.”
Nenda membalas kata-kata perempuan itu. Sejurus itu nenda merenungku sayu dan perlahan-lahan menutup mata.
Bersambung…
Test 2
Kredit: Long Tuan
Aku berlari. Dan terus berlari. Aku tak ingat berapa lama aku dah berlari. 8 jam. 9 jam mungkin. Aku berlari tanpa henti. Aku berlari sampai kakiku bukan sekadar melecet tapi berdarah. Aku berlari sampai aku tak boleh berlari lagi… Di kelilingi hutan belukar aku terbaring. Rupanya di sinilah tempat aku akan mati. Aku tersenyum.
Sebelum aku mati, mari aku cerita apa terjadi dengan diriku. Kau tak kan percaya cerita ku. Ia bermula di apartment aku. Kau boleh panggil aku liberal, tapi aku tinggal dengan member yang bukan sejantina dengan ku. Diane member baik aku. Kami kenal sejak kolej lagi. Ok. Balik ke cerita ku. Aku sedang menonton Netflix, di dalam bilikku sambil…. makan “sandwich special”. :p Tiba-tiba Diane mengetuk pintu ku. Aku buka. Matanya sebelah lebam. Gerenti dia bergaduh dengan boyfren dia. Aku sebenarnya malas nak ambil port tentang hubungan dia tapi sebab kawan. So aku tanya, apa kes. Dia jawap, biasalah, gaduh. Dia nak minta bantuan aku. Dia nak pinjam duit. Dia ada masalah kewangan. Dia janji dia akan bayar balik. Aduh, pinjam duit lagi la lemah aku. Aku beritahu Diane yang aku tak dapat bantu. Aku tawarkan dia sandwich aku. Diane mana boleh tolak sandwich special aku.
Kami tonton netflix bersama dengan makan sandwich. Tanpa di sedari, boyfren dia telah menelefon dia berkali-kali. Handphone dia kat biliknya sedang charge. So manalah kami nak tahu. Selepas selesai cerita kami, Diane balik ke biliknya. Aku meminta maaf kerana tak dapat tolong. Dia faham. Tidak lama kemudian dia bergesa-gesa keluar dari rumah. Aku tak fikir apa-apa. Aku sambung menonton cerita lain.
Keesokkan harinya aku dapat message dari Diane.
‘Shark. Tolong aku. Aku tak boleh lari…’
Message tu dia hantar 5 jam lepas. Sekarang pukul 2 pagi. Malasnya nak keluar. Aku ambil kereta. Dan pergi ke rumah James. boyfren dia. Aku ketuk rumah James. Dia buka. Aku tanya, mana Diane. Dia beritahu aku dia tak jumpa Diane sejak semalam. Pelik. Diane kata ada pergaduhan besar sampai mata dia lebam. James muka confius. Bila masa dia bergaduh dengan Diane. James menyerahkan handphonenya dan tunjuk dia message berkali-kali tapi Diane tak jawap. Aku tak tahu nak percaya ke tidak, tapi yang aku pasti Diane dalam kesusahan. Aku membuat keputusan untuk mencari Diane. James nak ikut. Dia betul-betul tak tahu apa-apa. Ataupun dia pandai berlakon. Entahlah. Tapi aku benarkan dia ikut.
Kami berpusing-pusing Kota Damansara harap terserempak dengan Diane. James cuba menelefon berkali-kali. Handphonenya berdering, tapi tiada orang angkat. Tiba-tiba James mengunakan otaknya dan mengunakan apps handphone tracker. Kenapa lah tak terfikir dari tadi. Membazir minyak je. Apps tu memberitahu Diane berada 47 km dari kita. Dengan tidak fikir apa-apa kami terus menjejaki Diane.
Kami tiba di sebuah rumah di tepi hutan. Dalam otak aku keadaan ini makin pelik. Apa Diane buat di situ. Aku tanya James betul ke tempat ini. Dia tunjuk apps tu. Kami berdua memasuki ke dalam rumah itu. Aku cuba capai lampu. Alhamdulillah, ada beberapa switch yang hidup. Kami terus memeriksa kawasan rumah. Kami buka setiap bilik. Tiada apa-apa sehingga bilik terakhir. Di situ aku lihat Diane sedang terbaring. Mukanya di penuhi darah. Aku tak rasa dia hidup. Aku cuba menoleh ke James tapi dia ketuk kepalaku dengan cangkul…
Bila aku sedar aku lihat James sedang duduk memerhatikan aku. Aku minta James untuk buka ikatan tapi dia enggan. Dia menangis. Aku rasa aku boleh baca situasinya sekarang. James mesti tidak sengaja memukul Diane. Dia panik. Dia membawa Diane ke sini. Tapi dia tidak boleh lepaskan Diane. Dia tahu dia dah tak ada option lagi. Sebelum sempat dia bunuh, Diane sempat hantar message kepadaku. James memukul mukanya sehingga tidak berupa wajah. James memberitahu kalau aku tak cari Diane, sudah tentu diriku selamat. Dia tak ada option lagi. Aku terpaksa mati seperti Diane. Aduh. itu aku cakap, aku tak suka masuk campur urusan orang.
Aku cuba reverse psiko dia. Kalau aku bebas aku tak akan beritahu sesiapa apa terjadi. Yang apa dia lakukan itu tidak sengaja. James memberitahu ini bukan kali pertama dia bunuh. Di Sabah dia telah bunuh sebuah keluarga yang mempunyai anak baru 3 tahun. Ayah dia terlanggar kereta James dan tidak mahu bayar wang untuk repair. James ikut dia dan malam itu, James bunuh ketiga-tiga mereka termasuk anaknya.
Sementara James sedang cerita, aku sedang cuba membuka ikatan. Nasiblah James tak pandai ikat tali. Aku meluru ke arah James, ambil cangkul di tangannya dan memukul kepala James. Aku berlari ke arah kereta. Tapi James ada pistol. Dia tembak ke arah aku. Nasib tak kena. Aku tak ada jalan lain. Aku lari ke hutan.
Seperti aku cakap tadi, aku sudah berlari berjam-jam. Aku tahu dia masih mencari aku. Aku tak bermaya untuk lari. Bunuhlah.
Dari jauh aku nampak sepasang kaki berjalan ke arah ku. Itu mesti James. Aku senyum. Akhirnya dia dapat kejar aku.
‘Abang… bangun… Cepat. Bawa dia ke hospital…’
“Hospital’ aku memandang. Oh rupanya sekumpulan pendaki lalu di sini. Mereka bawa aku ke hospital’
Empat hari sudah berlalu. Aku berbaik pulih. Aku memang terhutang budi kepada kumpulan pendaki. Kalau mereka tak jumpa aku, tak tahu la apa terjadi kat aku. Aku memberitahu polis tentang apa terjadi kepadaku. Aku juga memberitahu lokasi di mana dia boleh cari mayat Diane. Tapi aku tak tahu apa terjadi kat James.
Adakah dia telah melarikan diri? Atau mungkin dia sesat dalam hutan dan mati dengan perlahan-lahan seorang diri. Aku harap yang kedua tu.
Kisah ini daripada kawan saya. Kak Shida. Dia cerita pengalaman lahirkan anak pertama. Sekarang dia sudah mempunyai 5 orang anak.
Kak Shida tidak percaya dengan kepercayaan nenek moyang kita. Lagi-lagi yang melanggar ajaran Islam. Satu hari dia baru balik dari hospital, selepas beranakkan anak pertamanya, dia ternampak di tingkap biliknya ada paku panjang, ada besi berani dan pokok lidah jin. Kak Shida mengamuk. Ibunya memberitahu yang Kak Shida, “Kau ni baru bersalin. Anak kau yang pertama darah manis. Kau tahukah kawasan rumah kita ni banyak penanggal. Ia sebagai pendinding diri.” Kak Shida dan keluarganya masih tinggal bersama ibunya. Maklumlah, rumah sekarang mahal.
‘Penanggal? Mengarutlah,’ Kak Shida berkata dalam hatinya. Ibunya sambung, “Dulu ada seorang dukun duduk tak jauh dari sini. Dia dah meninggal. Masalahnya dia tidak tinggalkan pewaris. Harta pusakanya terbiar.”
Anak Kak Shida menangis. Dia menyusukan anaknya sambil dengar cerita mak dia. “Dulu kawsan ni banyak di ganggu makhluk halus. Ini semua sebab dukun tu tak ada pewaris.” Kak Shida malas nak lawan dengan ibunya. Dia biarkan sahaja barang-barang itu di situ.
Dua tiga hari berlalu. Tidak ada apa-apa yang berlaku. Satu hari Kak Shida dah tak boleh tahan lihat barang-barang yang ibunya buat pendinding lalu dia simpan barang-barang itu dalam laci. Kak Shida masuk tidur.
Sedang dia nyenyak tidur, anak pertamanya menangis tak berhenti-henti. Malam itu suaminya bertugas malam manakala ibunya sedang tidur di bilik sebelah. Kak Shida cuba tidurkan dia semula tapi dia tidak nak tidur. Bagi susu tak nak. Ibunya masuk ke bilik, “Kenapa tu Shida?”.
Ibunya pandang ke dinding dan lihat barang-barang pendinding sudah hilang. Ibunya mengamuk, “Mana barang-barang yang aku letak dekat tingkap?” Shida tunjuk di dalam laci.
Ibunya sambung bercakap sambil memasang semula barang itu, “Itu kenapa anak kau menangis… Kau tahu tak depan tingkat tu ada penanggal.” Kak Shida tengok kat tingkat, tak ada apa-apa pun. Malas nak gaduh dengan ibunya dia senyap je. Anak dia pun berhenti menangis. Kak Shida tidurkan anak dia dan ibunya tinggalkan Kak Shida. Dia pesan jangan usik barang kat tingkap itu.
Apabila Kak Shida baru nak lelap, dia dengar bunyi ketukan. Dia bertanya kepada dirinya siapa pulak yang ketuk pintu. Tapi itu bukan bunyi ketuk pintu, tapi tingkap bilik. Kak Shida pusing dan hilang penaggal. Rambutnya panjang, lidahnya terkeluar dan tali perut terurai-urai. Terkejut Kak Shida. Dia terkaku. Itulah kali pertama dia nampak makhluk halus.
Anak dia sambung menangis. Ibunya segera ke bilik. Kak Shida masih tak bergerak. Ibunya angkat anaknya dan menarik Shida keluar dari bilik. Penanggal itu masih mengetuk-getuk tingkap.
Selepas Shida sedar, ibunya suruh Shida menyusukan anaknya. “Itu ibu cakap. Kau tak percaya.” Malam itu Shida tidur dengan ibunya.
Keesokkan malam suami Kak Shida cuti. Dia bersyukur sangat. Suaminya tak tahu apa yang berlaku semalam. Dia tak nak beritahu. Kak Shida masih dalam keadaan trauma. Kak Shida tak berani masuk bilik seorang diri. Malam itu anaknya sudah tidur. Suaminya ingin hisap rokok. Dia tak benarkan suaminya hisap rokok. Suaminya berasa pelik sambil tinggalkan isterinya. Baru sahaja nak ke laman luar, Kak Shida angkat anak dia ikut suaminya. Makin konfius suami Kak Shida.
Suaminya hisap rokok, Shida melihat dari dalam rumah. Mata Kak Shida hanya fokus ke suaminya. Selepas selesai hisap rokok, suaminya mengunci pintu dan mengajak Kak Shida masuk tidur. Tiba-tiba dia dengar ketukan dari pintu. Suaminya ingin buka pintu tapi di larang oleh Kak Shida. Walau bagaimana pun dia masih buka pintu. Tiada siapa di luar. Bulu roma Kak Shida mula meremang. Suaminya berasa pelik. Pintu di tutup semula. Mereka masuk ke dalam bilik. Sebaik sahaja masuk bilik, penaggal itu sudah ada dalam bilik. Terkejut suaminya.
Penanggal itu seperti mahu menikam anak mereka. Kak Shida menjerit dan berlari keluar dari bilik. Ibunya juga keluar dari bilik. Penanggal itu cuba menikam semula anak mereka. Ibunya membaca ayat Ruqyah. Penanggal itu seperti tidak tenteram. Dia mahu keluar dari rumah. Suaminya membuka pintu dan Penanggal itu keluar dari rumah.
Keesokkan harinya dia meminta bantuan ustaz.